COVID-19: Rakyat perlu taat titah Yang di-Pertuan Agong - Prof Dr Shamrahayu
Irwan Muhammad Zain
Mac 21, 2020 18:48 MYT
Mac 21, 2020 18:48 MYT
Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah memberi nasihat dan turun padang untuk memastikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menampilkan peranan institusi diraja ketika negara berdepan krisis.
Menurut Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, apa yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong menunjukkan keprihatinan seorang ketua utama negara dalam memastikan hidup rakyat baginda teratur.
Dr Shamrahayu menjelaskan, dari segi perundangan baginda tidak mempunyai peruntukan untuk melakukan turun padang memastikan rakyat patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan.
"Pada saya, tindakan itu mendekatkan lagi hubungan antara baginda sendiri dengan rakyat dan para petugas yang menjalankan tanggungjawab mereka," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas titah khas Yang di-Pertuan Agong berhubung Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Dr Shamrahayu berpendapat rakyat perlu melihat itu sebagai satu perintah yang perlu dipatuhi.
"Kalau kita lihat perkataan titah itu sendiri, ia bukan calang-calang perkataannya, titah ini bermaksud perintah.
"Kalau kita lihat dari konteks masyarakat Melayu dan saya fikir ia perlu jadi tradisi masyarakat Malaysia, apabila Tuanku bertitah, perkataan titah itu menjadi satu perundangan atau satu perintah yang perlu dan wajib ditaati oleh rakyat," katanya lagi.
Tambah beliau, dari sudut kedudukan institusi diraja, titah itu menggambarkan ia sesuatu yang sangat penting untuk ditaati oleh rakyat kerana Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah pada setiap masa kecuali ada perkara penting.
Dr Shamrahayu menjelaskan masyarakat perlu memahami apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah itu bermakna ada perkara yang dilakukan oleh rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak menyenangkan hati baginda.
Pada Jumaat, Al-Sultan Abdullah bertitah agar semua rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ia termasuk tidak keluar rumah jika tiada keperluan penting dan membatalkan hasrat untuk balik kampung.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat.
Hari ini (Sabtu) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejumlah 153 kes baharu dilaporkan sekaligus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,183 kes.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#COVID-19
#Dr Shamrahayu Ab Aziz
#patuh
#perintah kawalan pergerakan
#PRIHATIN
#taat
#titah
#UIAM
#Yang di-Pertuan Agong