COVID-19: Rakyat Malaysia pulang dari luar negara tidak lagi dihantar ke pusat kuarantin - Ismail Sabri
Umavathi Ramayah
Jun 7, 2020 15:09 MYT
Jun 7, 2020 15:09 MYT
Bermula Rabu depan, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya mereka hanya perlu menjalani swab test sejurus tiba di lapangan terbang.
Katanya, sekiranya hasil ujian positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan susulan sementara yang disahkan negatif diarahkan kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing.
"Pun begitu, indivdu yang disahkan negatif diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mereka akan dipantau melalui aplikasi ini.
"Mereka juga diwajibkan memakai gelang tangan kuarantin (wristband) bagi memudahkan proses identifikasi," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan setiap pergerakan mereka akan dipantau pihak penguat kuasa melalui aplikasi itu.
Mana-mana individu yang dikesan mengingkari arahan kuarantin wajib dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan dikompaun RM 1,000 dan dihadapkan ke mahkamah, katanya.
"Kerajaan akan mewartakan di dalam Akta 342 iaitu jika mereka ingkar dengan peraturan yang dikeluarkan ini, maka mereka akan dikompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah," tambahnya.
Berikutan itu beliau berharap, rakyat Malaysia yang akan pulang ke tanah air memuat naik aplikasi MySejahtera sebelum tiba.
Menurutnya, kerajaan membuat keputusan ini setelah mengambil kira kadar jangkitan COVID-19 membabitkan rakyat Malaysia yang pulang ke Malaysia adalah kira-kira satu peratus sahaja.
Selain itu katanya, penularan virus itu di negara-negara lain juga sudah terkawal dengan lengkung jangkitan yang semakin melandai dan menurun.
Pada masa yang sama, jelasnya kerajaan juga telah berjaya meningkatkan keupayaan untuk membuat ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk antarabangsa.
"Dulu keputusan lambat ekoran kekurangan makmal dan sebagainya, sekarang kita mampu melakukan ujian di pintu-pintu masuk dan keputusan juga sangat pantas," ujarnya.
Beliau berkata, sebanyak 50,873 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lalu dengan 40,805 individu telah selesai menjalani proses itu serta dibenarkan pulang.