COVID-19: Raja Arab Saudi titah KSrelief salur bantuan kepada Malaysia - Hishammuddin
Astro Awani
Julai 25, 2021 17:00 MYT
Julai 25, 2021 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menitahkan supaya King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bantuan disalurkan baginda itu merupakan satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan Kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.
"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammad bin Salman dan Kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini.
"Insya-Allah, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang negara perlukan sekali gus memastikan titah baginda Raja Salman ini berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan panggilan telefon dengan Mohammad Bin Salman yang menyampaikan titah tersebut.
#Hishammuddin Hussein
#Raja Salman
#Putera Mohamad Bin Salman
#bantuan
#COVID-19
#Malaysia
#hubungan luar
#Menteri Kanan Luar Negeri