COVID-19: R-naught negara turun kepada 0.97, Sarawak tertinggi

Astro Awani
September 2, 2021 05:41 MYT
Sebanyak 11 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19.
Ia direkodkan pada 0.97 semalam, berbanding 0.99 hari sebelumnya.
Sebanyak 11 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.
Sarawak mencatat kadar tertinggi dengan 1.20, diikuti Perlis, Johor, Kelantan, Sabah, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Perak dan Pahang.
Putrajaya, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur mencatat kadar kebolehjangkitan di bawah purata kebangsaan.
Labuan pula mencatat lima kes baharu.
Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
#kadar kebolehjangkitan #COVID-19 #purata kebangsaan #R-Naught
;