COVID-19: Pusat Zakat Sabah beri bantuan khas kepada 9,600 penerima

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 24, 2020 16:05 MYT
Mohd Ariffin berkata selain bantuan khas terbabit, terdapat juga bantuan dana sebanyak RM1.3 juta yang diberikan kepada pihak hospital yang memerlukan bantuan segera bagi menangani pandemik COVID-19. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Pusat Zakat Sabah (PZS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah bersetuju memberikan bantuan khas tambahan sekali bayar (one off) sebanyak RM100 kepada 9,600 penerima bantuan bulanan (asnaf fakir) yang melibatkan peruntukan RM960,000.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata selain bantuan khas terbabit, terdapat juga bantuan dana sebanyak RM1.3 juta yang diberikan kepada pihak hospital yang memerlukan bantuan segera bagi menangani pandemik COVID-19.
"Kepada asnaf memang ada program yang dibuat oleh Pusat Zakat Sabah, bulanan pun ada, sepanjang penularan COVID-19 ini, PZS sudah setuju untuk menambah bantuan bulanan sebanyakRM100.
"Kedua, kita juga ada bagi bantuan RM1.3 juta kepada pihak hospital-hospital yang memerlukan bantuan dari sudut keperluan segera.
"Selain itu kita juga memberikan bantuan 'one off' kepada pekerja-pekerja yang menyelenggara jenazah, mereka kita berikan RM500 setiap seorang dan setakat ini program ini dilaksanakan sehingga hujung tahun," katanya yang ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan jalan runtuh berhampiran Masjid Al Falah, Kepayan pada Sabtu.
Tambahnya PZS akan memaklumkan kepada penerima dengan dibantu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah JAHEINS.
Berhubung jalan runtuh di Masjid Al Falah tersebut Arifin berkata pihak Jabatan Kerja Raya JKR akan segera membersihkan tanah runtuh yang berlaku di lereng bukit jalan menuju ke masjid itu.
JKR menganggarkan sebanyak RM2 juta diperlukan untuk membina tebatan lereng bukit di sekeliling tapak bangunan masjid tersebut.
#Pusat Zakat Sabah #Majlis Ugama Islam Sabah #asnaf fakir #Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif #COVID-19 #pandemik #tanah runtuh
;