COVID-19: Pusat beli belah Sunway catat peningkatan jualan 50 peratus
Hilmi Malik
Mei 27, 2020 14:53 MYT
Mei 27, 2020 14:53 MYT
Jualan di pusat beli belah di bawah kumpulan Sunway mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding pengoperasiannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Operasi Sunway Mall, Kevin Tan berkata orang ramai dilihat telah mula berkunjung ke pusat beli belahnya terutamanya ketika membuat persiapan pada musim perayaan melibatkan kesemua tujuh pusat beli belah di bawah kumpulan Sunway.
“Kalau kita banding data ketika PKP dan keadaan ketika ini, kadar peratusan orang ramai yang berada di pusat beli belah telah pulih sebanyak 50 peratus.
“Trend orang ramai yang berkunjung di pusat beli belah kami juga tidak hanya tertumpu pada waktu hujung minggu dan kita dapat lihat ramai orang yang beratur di premis perniagaan untuk membuat pembelian,” katanya ketika ditemu bual menerusi Skype, pada Rabu.
Bagaimanapun, melihat kepada kadar peningkatan orang ramai yang mula berkunjung ke pusat beli belah, Kevin berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dengan langkah-langkah pencegahan COVID-19 termasuk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan melibatkan operasi di pusat beli belah.
“Kita tetap perlu berhati-hati bila orang mula terlalu ramai dan kita sudah tempatkan pegawai keselamatan yang akan membuat pemantauan serta memastikan SOP yang disediakan dilaksanakan seperti isu penjarakan sosial dan sebagainya,” katanya lagi.
#COVID-19
#Kevin Tan
#musim perayaan
#PKPB
#prosedur operasi standard
#pusat beli belah
#SOP
#Sunway