COVID-19: Pulau Pinang mula saringan massa bersasar Isnin depan

Bernama
Jun 30, 2021 07:53 MYT
Chow Kon Yeow (gambar) berkata PSC-19 akan bermula 5 Julai di Stadium Bandaraya Pulau Pinang melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan melaksanakan program saringan massa COVID-19 dalam komuniti secara bersasar atau Penang Saring COVID-19 (PSC-19), mulai Isnin depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, PSC-19 akan bermula 5 Julai di Stadium Bandaraya Pulau Pinang melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Pinang, Padang Kota, Dato Keramat dan Pulau Tikus, dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut senarai serta ketetapan yang akan diumumkan kemudian.
"Program PSC-19 dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang membabitkan kaedah RTK-Antigen.
"Selain berurusan dengan pejabat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing, satu aplikasi bagi memudahkan rakyat Pulau Pinang membuat pendaftaran sedang dibangunkan, dikenali sebagai penangsaring.selangkah.my," katanya menerusi siaran langsung di laman Facebook rasminya di sini pada Rabu.
Beliau turut memohon, agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan untuk menggunakan pendekatan prestasi pencapaian nilai-nilai ambang setiap negeri dan bukannya kebangsaan, dalam memutuskan peralihan ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara, bagi negeri-negeri.
"Ini adalah kerana, setiap negeri mempunyai dan menghadapi kadar jangkitan kes berbeza-beza yang mana memerlukan pertimbangan khusus, dalam menentukan strategi lanjut yang perlu dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Chow berkata Pulau Pinang akan menerima sebanyak 591,532 dos vaksin bagi bulan Julai ini, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata, pecahan penghantaran dos vaksin itu adalah selama empat minggu bermula 5 hingga 28 Julai 2021.
Dengan penerimaan jumlah dos vaksin itu, Chow berharap Pulau Pinang dapat mencapai tiga matlamat iaitu, 10 peratus populasi disuntik bagi kedua-dua dos vaksin, suntikan vaksin kepada semua yang berdaftar membabitkan kategori warga emas 60 tahun dan ke atas, dan pemberian vaksin kepada yang berdaftar membabitkan kategori umur 60 tahun dan ke bawah.
-- BERNAMA
#pulau pinang #program saringan massa #COVID-19 #saringan bersasar #Penang Saring COVID-19 #PSC-19 #PICK #Chow Kon Yeow
;