COVID-19: Program Derma Kilat Rakyat sasar kutipan RM3 juta, bantu NGO Malaysia
Astro Awani
Julai 14, 2021 15:15 MYT
Julai 14, 2021 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Projek Bangsa Malaysia bakal menganjurkan program Derma Kilat Rakyat pada Sabtu ini dengan sasaran kutipan RM3 juta.
Menerusi perkongsian di Facebook Projek Bangsa Malaysia, program itu dijadual berlangsung pada Sabtu ini (17 Julai 2021) bermula pukul 11 pagi.
Hasil kutipan tersebut akan diagihkan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membekalkan bantuan dan keperluan asas kepada golongan rentan yang terkesan akibat wabak COVID-19.
"Satu-satunya cara kita untuk keluar dari krisis ini adalah untuk bangkit dan sama-sama berjuang demi satu sama lain.
"Kita akan bangkit, berganding bahu dan mengharungi perjuangan ini bersama - sebagai #BangsaMalaysia #BangkitMembantu!
"Kami mahu mengembalikan semula sinar harapan, dan mengingatkan warga Malaysia tentang kekuatan luar biasa yang kita ada apabila kita saling ada untuk satu sama lain," memetik kenyataan itu.
Inisiatif amal itu akan berlangsung selama beberapa jam seiring usaha mengharungi waktu getir yang dilalui rakyat Malaysia yang teruk dilanda COVID-19.
Para penghibur seperti penyanyi, Altimet; pelakon, Bront Palarae; pelawak, Douglas Lim, serta jaguh sukan, aktivis, dan para penggerak masyarakat akan turut serta dalam program itu.