COVID-19: Prasarana tawar aset bantu perkasa program pemberian vaksin

Hilmi Malik
Jun 17, 2021 13:21 MYT
Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana komited dalam memastikan usaha pemberian vaksin berjalan dengan lancar.
KUALA LUMPUR : Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan asetnya dalam usaha membantu memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak awal Mac lalu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, insiatif tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19.
“Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program pemberian vaksin berjalan lancar.
“Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Setakat ini, Prasarana telah menggunakan beberapa bas untuk dijadikan sebagai pengangkutan untuk membawa pesakit COVID-19 ke pusat kuarantin.
Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang berikutan pemandu bas yang ditugaskan terlebih dahulu telah diberikan suntikan vaksin COVID-19.
Dalam pada itu, Norlia turut memaklumkan, pihaknya bersedia untuk menubuhkan pusat vaksinasi sementara untuk ditempatkan di beberapa stesen LRT yang dilihat bakal memudahkan urusan orang ramai.
Ini termasuk tawaran untuk menggunakan kakitangan Prasarana sebagai sukarelawan bagi membantu meringankan beban kakitangan KKM dan secara tidak langsung dapat memastikan kelancaran PICK.
#KKM #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #prasarana #LRT #bas
;