COVID-19: PPIM desak kerajaan laksana saringan menyeluruh
Madiha Abdullah
Mei 21, 2021 10:00 MYT
Mei 21, 2021 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan mempercepatkan pelbagai bentuk ujian saringan COVID-19 bagi mengelak kesan negatif berterusan terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusinya Datuk Nadzim Johan berkata, majoriti di antara 10 juta pengguna - keluarga, pengguna, peruncit, dan perniagaan – terjejas teruk akibat dari pelaksanaan PKP yang dilaksanakan berulang kali.
Keadaan ini berbeza, katanya, dibandingkan dengan Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Britain dan Switzerland yang kini meneruskan aktiviti sosial dan ekonomi seperti biasa setelah menyaksikan kelebihan positif dalam pelaksanaan ujian saringan besar-besaran di Slovakia.
"Dua tahun berturut-turut, aktiviti sosial, perniagaan dan keagamaan semasa Hari Raya dihadkan. Kesannya dirasakan hampir semua pengguna dan komuniti Muslim di negara ini.
"Pada masa yang sama, harga barangan harian terus meningkat setiap hari,” kata Nadzim menerusi satu seminar dalam talian semalam.
Selain bergantung kepada vaksin, PPIM juga menggesa kerajaan melaksanakan ujian saringan peringkat nasional terhadap gejala, kadar infeksi dan juga daya ketahanan.
"Negara kita perlu kembali semula kepada aktiviti sosial dan ekonomi yang normal dengan segera walaupun terdapat wabak.
"Kos daripada penutupan sektor ekonomi telah mencapai kemuncaknya.
"Kesinambungan harus dicapai dengan kombinasi ujian saringan peringkat nasional bersama dengan program vaksinasi.
"Membuat ujian saringan adalah elemen asas bagi mengawal pandemik dan akan menjadi pemangkin untuk memacu semula aktiviti ekonomi," tambah Nadzim.
Seminar yang bertajuk 'PKP 3.0 – Salah Siapa?' turut disertai ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Operasi Perubatan Amegajaya Healthcare, Dr Ismail Hamid dan Dr Chang Chee Seong dari Medipulse Clinic.
PPIM berkata, pihaknya akan terus menjalankan program kesedaran yang berkaitan dengan perlindungan jangkitan serta meneroka aplikasi teknologi yang dapat membantu mengendalikan pandemik ini.
#Persatuan Pengguna Islam Malaysia
#PPIM
#ujian saringan
#program vaksinasi
#COVID-19
#vaksin
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#pandemik