COVID-19: Polis, tentera akan kawal jangkaan kesesakan di bank, ATM
Astro Awani
Mac 24, 2020 14:34 MYT
Mac 24, 2020 14:34 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengawal kawasan bank serta mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berikutan kemungkinan kesesakan yang dijangka berlaku dalam masa beberapa hari lagi.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan orang ramai akan memenuhi bank-bank dan mesin ATM untuk mengeluarkan wang gaji mereka.
"Dalam beberapa hari lagi gaji akan dibayar kerajaan dan majikan masing-masing. Kita jangka akan berlaku kesesakan di bank, ATM. Jadi kita menyeru jangan berpusus-pusu di bank.
"Kita akan minta polis, tentera jika perlu untuk mengawal supaya pematuhan penjarakan sosial itu dilakukan semasa di ATM dan bank. Kita minta polis bantuan, pengawal keselamatan akan lihat juga perkara ini," katanya dalam satu sidang media di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, pihak bank juga akan menentukan kemasukan individu ke premis berkenaan bagi satu-satu masa.
Pada masa sama, mereka akan memastikan setiap individu melakukan penjarakan sosial semasa mengeluarkan wang masing-masing di bank dan ATM.
"Kita semua menyeru supaya jangan berpusu-pusu di bank atau di ATM. Kita akan minta polis dan ATM jika perlu untuk mengawal di kawasan bank, ATM supaya pematuhan kepada penjarakan sosial itu semasa proses pengeluaran wang dan sebagainya di bank atau sebagainya.
"Kita minta polis bantuan, pihak keselamatan di bank untuk mengawal jumlah kemasukan serentak yang mungkin akan berlaku. Mungkin pihak bank akan menentukan berapa ramai akan ada dalam bank untuk memmastikan penjarakan dilaksanakan," ujar beliau.