COVID-19: Polis nafi sekat jalan sekitar Penjara Reman Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 8, 2020 12:51 MYT
Oktober 8, 2020 12:51 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang nafi mengadakan sekatan dan penutupan jalan di sekeliling Penjara Reman di sini seperti yang tersebar di media sosial sejak pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, tiada laluan ditutup atau sekatan jalan raya dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan di sini buat masa ini.
Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat berkaitan sekatan jalan raya tersebut
"Setakat ini kita belum menerima apa-apa arahan lagi berkaitan penutupan jalan," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mesej yang tersebar di aplikasi WhatsApp dan Facebook berkaitan penutupan jalan di kawasan penjara pada Khamis.
Mesej berkaitan penutupan empat Jalan Utama / Jalan Penjara itu tular selepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media semalam memaklumkan mengenai Kluster Penjara Reman.
Menurutnya, saringan mendapati tujuh orang positif COVID-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Okt.
Lelaki berusia 85 tahun itu tidak sedarkan diri dalam penjara sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan meninggal dunia. Hasil ujian saringan yang dijalankan ke atas mayatnya mendapati positif COVID-19.
Berikutan itu, banduan dan petugas di penjara tersebut yang mempunyai kontak rapat dengan si mati telah diasingkan serta dikuarantin manakala semua banduan serta petugas turut menjalani ujian saringan COVID-19.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjalankan operasi sanitasi dalam kawasan penjara bagi membendung penularan wabak.
#polis
#nafi
#tutup jalan
#Kluster Penjara Reman
#pulau pinang
#Soffian Santong
#COVID-19
#Sekatan Jalan Raya
#media sosial
#sebaran maklumat
#Penjara Reman Pulau Pinang