COVID-19: PM umum jadi antara individu pertama terima suntikan vaksin
Astro Awani
Disember 22, 2020 10:30 MYT
Disember 22, 2020 10:30 MYT
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19.
Jelas Perdana Menteri, ia langkah untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh adalah selamat dan berkesan.
"Saya akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19.
"Ini akan diikuti dengan petugas barisan hadapan (frontliners) sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik.
"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan memastikan bekalan vaksin dapat diperolehi pada kadar segera.
"Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar seawal Februari 2021," katanya semasa perutusan khas mengenai vaksin COVID-19 yang dibuat secara maya hari ini.
Dalam pada itu, jelas Muhyiddin, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin setelah diperolehi dan digunakan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menawarkan diri menjadi orang pertama di Malaysia untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Sambil menyifatkan dirinya sebagai ‘panglima perang’, beliau bersedia untuk diuji dengan vaksin tersebut.
Selain Bung Mokhtar, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menawarkan diri untuk menjadi orang pertama dalam kawasan parlimennya untuk menerima suntikan berkenaan.
Di luar negara, bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengambil dos suntikan vaksin COVID-19 di Hospital Christiana di Newark, Delaware.
Ia disiarkan secara langsung menerusi televisyen pada Isnin, sebagai sebahagian usaha pemimpin AS meyakinkan rakyat tentang keselamatan vaksin tersebut.
#Muhyiddin Yassin
#COVID-19
#kesihatan
#vaksin
#NCD
#Kementerian Kesihatan
#Joe Biden
#Amerika Syarikat
#kerajaan
#Parlimen
#keselamatan
#menteri
#PM