COVID-19: PM tinjau pusat ujian saringan di Bandar Baru Salak Tinggi

Ridauddin Daud
November 11, 2020 11:30 MYT
Muhyiddin lengkap berpakaian PPE ketika membuat tinjauan ke pusat saringan COVID-19 di Pusat Perniagaan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, pagi ini. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
SEPANG: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melakukan tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.
Tinjauan tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Muhyiddin yang tiba di kawasan itu kira-kira jam 9 pagi, kemudiannya mengenakan set pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum memulakan tinjauan.
Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit dan turut meninjau khemah saringan COVID-19 yang disediakan di dalam kawasan itu.
Difahamkan PKPD itu dikuatkuasakan bermula tengah malam tadi.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kira-kira 800 penduduk tinggal dalam kawasan tersebut.
“Kes pertama mula dikesan pada 4 Oktober lalu dan pada 5 November, jumlah keseluruhan kes mencecah 40 kes,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Berdasarkan tinjauan, suasana di sekitar luar kawasan itu tenang dengan tidak ramai orang yang berada di luar.
Hanya kelihatan petugas barisan hadapan berkawal di beberapa lokasi.
Pagar kawat duri juga dilihat sudah dipasang mengelilingi pusat perniagaan itu.
Bantuan bekalan makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat sudah mula dikumpul di luar kawasan tersebut.
Penduduk di dalam kawasan itu pula dilihat sibuk menjalani ujian saringan COVID-19 yang dikelolakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Maklumat lanjut dijangka diumumkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media petang ini.
#ujian saringan #Muhyiddin Yassin #Sepang #lawatan #COVID-19 #PKPD #PKP #Kementerian Kesihatan #Bandar Baru Salak Tinggi
;