COVID-19: Plaza Tol Sedenak ditutup enam jam untuk sanitasi

Bernama
Disember 2, 2020 16:57 MYT
Pengguna lebuh raya dari Sedenak dan kawasan sekitar yang ingin ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru boleh melalui lebuh raya PLUS menerusi Plaza Tol Simpang Renggam ataupun Kulai.
JOHOR BAHRU: Plaza Tol Sedenak di sini, ditutup sementara selama enam jam bermula 12 tengah hari tadi berikutan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19, semalam.
PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan dilakukan secara menyeluruh sebelum plaza tol itu dibuka semula.
"Kakitangan tersebut merupakan seorang pembantu khidmat pelanggan yang ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital.
"Kita juga menjalankan pengesanan kontak termasuk mengarahkan semua kakitangan operasi dan penyelenggaraan di plaza tol berkenaan agar melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan," menurut kenyataan itu.
PLUS turut memaklumkan sepanjang tempoh penutupan itu, pengguna lebuh raya dari Sedenak dan kawasan sekitar yang ingin ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru boleh melalui lebuh raya PLUS menerusi Plaza Tol Simpang Renggam ataupun Kulai.
Bagi pengguna dari Kuala Lumpur menghala ke Sedenak pula dinasihatkan agar keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Simpang Renggam, manakala pengguna dari Johor Bahru menghala ke Sedenak boleh keluar melalui lebuh raya Plaza Tol Kulai.
Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, menurut PLUS.
-- BERNAMA
#Plaza Tol Sedenak #tutup sementara #positif #COVID-19 #plus malaysia bhd #sanitasi #pembersihan
;