COVID-19: PKRC MAEPS 2.0 sedia 10,000 katil

Fauzi Suhaimi
Disember 9, 2020 19:22 MYT
Ia dilakukan secara tiga fasa membabitkan 3,000 katil pada fasa pertama, 3,300 katil pada fasa kedua dan 3,700 katil pada fasa ketiga. - Foto Twitter KKMalaysia.
KUALA LUMPUR: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC - MAEPS 2.0) yang akan diaktifkan semula mampu menampung kapasiti sehingga 10,000 pesakit.
Menteri Kanan Pertanahan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun jumlah itu akan dilakukan secara tiga fasa membabitkan 3,000 katil pada fasa pertama, 3,300 katil pada fasa kedua dan 3,700 katil pada fasa ketiga.
"Keputusan untuk mengaktifkan PKRC MAEPS 2.0 secara segera ini adalah berikutan peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Skop operasi kali ini akan melibatkan pesakit COVID-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan akan hanya menempatkan pesakit bukan warganegara (BWN) sahaja," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pengaktifan pusat berkenaan turut melibatkan pemindahan pesakit COVID19 (BWN) daripada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILLKM), Sungai Buloh ke MAEPS.
"Memandangkan PKRC MAEPS 2.0 akan menempatkan warganegara asing dalam jumlah kapasiti yang tinggi, aspek keselamatan akan dipertingkatkan lagi oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
#ismail sabri yaakob #Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia #PKRC #COVID-19 #pekerja asing #Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 MAEPS Serdang #Menteri Kanan Pertanahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #Pesakit bukan warganegara #perkeso
;