COVID-19 : PKPP di seluruh Sarawak bermula esok

Nickyson Nyambar
November 27, 2020 18:35 MYT
Sarawak memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 28 November ini.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 28 November ini.
Menerusi kenyataan JPBN Sarawak pada Jumaat, langkah itu susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching dengan statusnya kini diisytiharkan sebagai zon kuning.
“Masa operasi bagi sektor ekonomi di Sarawak adalah bermula enam pagi sehingga 12 tengah malam.
“Bagaimanapun, pengoperasian pusat hiburan seperti kelab malam, pub, karaoke serta pusat refleksologi masih tidak dibenarkan.
“Manakala, bagi tatacara kemasukan ke Sarawak masih mengekalkan prosedur sedia kala,” jelas kenyataan itu.
Susulan langkah berkenaan, JPBN Sarawak menyeru agar semua terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan ketetapan ketika tempoh PKPP berkenaan.
Turut dimuatkan dalam kenyataan sama adalah berkenaan aktiviti pengesanan secara aktif (ACD)
yang telah dijalankan di Kampung Banting, Lawas susulan satu kes jangkitan yang dikesan di daerah itu pada 13 November lalu.
“Seramai 959 penduduk di Kampung Banting, Lawas telah menjalani saringan COVID-19 yang telah
dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Lawas dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Daerah Lawas.
“Keputusan ujian rT-PCR yang diambil dari penduduk kampung itu pada 21 November 2020 adalah
negatif untuk COVID-19,” tambah JPBN Sarawak.
Antara lain, Sarawak tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes baharu COVID-19 pada Jumaat. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu kekal 1,062 kes.
Sementara itu, enam kluster masih aktif di Sarawak. Kluster-kluster berkenaan adalah Kluster Besi,
Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.
Kesemua kluster ini adalah di Kuching.
#Pandemik COVID-19 #PKPP di Sarawak #JPBN Sarawak #PKPP #COVID-19 #Sarawak
;