Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah iaitu di Zon Melur akan dilanjutkan sehingga 27 September ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu dikuatkuasakan selepas terdapat 12 kes positif COVID-19 di zon berkenaan pada saringan kali kedua.

Sehubungan itu, beliau berkata, perintah berkenaan akan melibatkan seramai 609 rumah dengan anggaran 2,529 penduduk.

"Bagaimanapun, dua zon lagi iaitu Zon Kenanga dan Zon Mawar akan ditamatkan berkuatkuasa tengah malam ini.

"Keputusan ini diambil selepas saringan kali kedua dilaksanakan pada 9 September 2020 tiada lagi kes positif COVID-19 direkodkan di Zon Kenanga, manakala hanya satu kes sahaja direkodkan di Zon Mawar dan telahpun dimasukkan ke pusat kuarantin yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menggesa semua penduduk terlibat untuk memberi kerjasama dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh tersebut.

Sebelum ini, PKPD Secara Pentadbiran di kawasan berkenaan telah dikuatkuasa bermula dari 28 Ogos 2020 hingga hari ini.