COVID-19: PKPD Penjara Seberang Perai bermula hari ini
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 22, 2020 12:05 MYT
Oktober 22, 2020 12:05 MYT
NIBONG TEBAL: Bermula hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula dikuatkuasakan di Penjara Seberang Perai di Jawi, termasuk Kuarters Perumahan Penjara.
PKPD yang bermula hari ini (22 Okt) hingga 4 November itu dilaksanakan bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di kawasan terbabit.
Tinjauan Astro AWANI mendapati kawad berduri dan kon dipasang di sekitar kawasan terlibat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Lee Chong Chern ketika dihubungi berkata, setakat ini, sekatan polis hanya dibuat di hadapan pintu masuk Kompleks Penjara dan pintu masuk kuarters kediaman kakitangan.
"Pergerakan dihadkan dan jika tiada keperluan mendesak, mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD," katanya.
Menurutnya, kedua-dua Kompleks Penjara dan kuarters itu berhadapan dengan laluan utama iaitu Jalan Kerian - Kedah, tetapi pihaknya tidak menutup jalan berkenaan kepada lalu lintas.
Sekatan hanya melibatkan 3,262 individu yang terdiri daripada 2,110 banduan dan 1,000 petugas dan keluarga kakitangan penjara yang tinggal di kuarters, 120 kakitangan yang tidak tinggal di kuarters, serta 32 petugas awam.
Lee berkata, kakitangan penjara serta ahli keluarga yang tinggal di dalam kuarters itu hanya dibenarkan keluar bagi urusan penting dan kecemasan, dengan kebenaran polis.
Menurutnya, anggota polis akan bertugas 24 jam sehari mengikut syif di kawasan PKPD itu.
Sementara itu, Pengarah Penjara Seberang Perai Zulkifli Abd Manah berkata, pihaknya akan memastikan semua kakitangannya mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang PKPD dilaksanakan 14 hari ini.
Mengulas mengenai pertambahan kes jangkitan COVID-19 di penjara itu, beliau berkata sehingga Rabu, sembilan banduan disahkan positif dan tidak ada kes baru melibatkan pegawai penjara.
Katanya, setakat Selasa, hanya tiga pegawai penjara disahkan positif COVID-19 manakala jumlah kumulatif terkini, 95 kes.
PKPD dilaksana di Penjara Seberang Perai dan kuarters kakitangannya susulan peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan Kluster Penjara Jawi.
Sementara itu, tinjauan di kawasan Kompleks Penjara mendapati terdapat pergerakan masuk dan keluar pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan Hospital Sungai Bakap ke dalam kawasan penjara sejak 8 pagi.
#penjara
#COVID-19
#Penjara Jawi
#PKPD
#Pengarah Penjara Seberang Perai
#Lee Chong Chern
#kuarters
#Kompleks Penjara
#kawad berduri
#kakitangan penjara
#banduan
#Zulkifli Abd Manah
#kes positif
#pegawai penjara
#Kluster Penjara Jawi
#sekatan