COVID-19: PKPD di lima lokaliti di Sabah dan Johor bermula Jumaat
Astro Awani
Ogos 18, 2021 19:19 MYT
Ogos 18, 2021 19:19 MYT
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di lima lokaliti baharu, manakala 14 lokaliti ditamatkan, kata Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.
Dalam satu kenyataan Rodzi berkata, lima lokaliti baharu itu membabitkan Sabah dan Johor, bermula 20 Ogos sehingga 2 September depan.
Lokaliti terlibat di Sabah ialah KampungTanjong Pagar, Kota Belud; Setinggan Kampung Baru Luyang, Penampang; Kampung Padang Tembak, Keningau dan Kampung Jawa, Tawau manakala satu lokaliti di Johor melibatkan Ladang Sungai Kahang di Kluang.
"Selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19, PKPD akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan," katanya.
Sementara itu, Rodzi turut mengumumkan penamatan PKPD di 14 lokaliti termasuk tiga ditamatkan hari ini, iaitu lebih awal dari tarikh dijadualkan tamat.
Katanya, ia membabitkan PKPD di Taman Sri Kebakat, Tumpat, Kelantan; Kampung Belum Baru, Hulu Perak, Perak; Kampung Menteri, Kuala Sepetang, Mukim Matang, Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak; dua Kilang Comfort Rubber Glove iaitu di Matang dan Simpang serta Asrama Kilang Comfort Rubber Glove Hujung Matang di Perak; Taman Puteri, Kluang Johor; Kampung Kuala Mengalong, Sipitang, Sabah; dua kawasan di Kunak Sabah iaitu Perumahan Ladang Moslyn dan Kampung Kasnuri; serta dua kawasan di Kota Kinabalu iaitu di Kampung Tanjung Aru Lama dan University Apartment.
Selain itu, Kampung Bukit Merbau, Mukim Bukit Jawa, daerah Pasir Putih; Kampung Baru Pupoh, Pasir Putih dan Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang, semuanya di Kelantan.