COVID-19: PKPB di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang bermula 6 November

Astro Awani
November 4, 2020 09:38 MYT
Mesyuarat Khas MKN juga memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan pada 5 November seperti dijadualkan. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang berkuat kuasa 6 hingga 19 November ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan melaksanakan PKPB di daerah tersebut dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.
"Sehingga 3 November 2020, sebanyak 35 kes positif COVID-19 termasuk 11 kes baharu telah direkodkan di mukim ini.
"Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di mukim ini, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang berkuat kuasa 6 November 2020 sehingga 19 November 2020.
"Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kawasan ini," katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan pada Rabu.
Sementara itu Ismail menjelaskan, Mesyuarat Khas MKN juga memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan pada 5 November seperti dijadualkan.
Keputusan menamatkan PKPD di PPR Taman Harmoni, Sandakan itu dibuat setelah KKM mengesahkan tiada kes positif COVID-19 baharu direkodkan di kawasan ini.
"Sehubungan dengan itu, sidang khas hari bersetuju untuk menamatkan PKPD di PPR Taman Harmoni, Sandakan pada 5 November 2020 sebagaimana yang telah dijadualkan," katanya lagi
Walau bagaimanapun jelas Ismail Sabri, PPR Taman Harmoni ini masih tertakluk di bawah SOP PKPB bagi seluruh negeri Sabah.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #PKP #PKPB #PKPD #PKPP #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat