COVID-19: Pilihan raya dan pilihan rakyat
G Manimaran
Januari 25, 2021 07:24 MYT
Januari 25, 2021 07:24 MYT
PADA 18 September lalu, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi isyarat bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang berlangsung pada 26 September, boleh menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), gabungan terbaharu didaftarkan, itu dipetik berkata sekiranya rakyat Sabah memberi mandat yang meyakinkan kepada Gabungan Rakyat Sabah, maka ia akan membolehkan mereka mengadakan PRU15 secepat mungkin.
Ketika itu ramai telah mengandaikan kehadiran PRU15 dalam tempoh terdekat.
Sepuluh hari sebelum itu, pada 8 September 2020, ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin telah memberi gambaran PRU15 akan berlangsung dalam masa terdekat.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020 pada 28 November, Presiden Bersatu itu memberitahu, PRU15 akan diadakan sebaik pandemik COVID-19 berakhir, sekali gus memberi gambaran kemungkinan ia akan menjadi kenyataan sekitar bulan Mac-April.
"Jika diizinkan, apabila pandemik berakhir, kita akan adakan pilihan raya umum.
"Kita kembalikan mandat pada rakyat dan biarlah rakyat pilih kerajaan yang mereka mahu.
"Insya-Allah Perikatan Nasional (PN) akan dipilih semula."
Perkara sebaliknya berlaku. Pelbagai perkembangan menjadi punca mengapa ia tidak menjadi kenyataan.
Kes jangkitan terus meningkat kepada empat digit – kes harian mencecah paras antara 2,700 hingga 3,300.
Kes jangkitan diramalkan akan meningkat kepada 5,000 dan seterusnya 8,000 kes menjelang suku kedua tahun ini.
Terakhir ketika menjelaskan mengenai pelaksanaan darurat, perdana menteri berkata beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun perkara utama yang menghalang beliau daripada menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk pilihan raya diadakan ialah pandemik COVID-19.
Dengan itu, PRU, PRN dan pilihan raya kecil tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos.
Spekulasi mengenai PRU15 sudah kedengaran sejak pertengahan tahun lalu. Banyak pihak telah mengandaikan bahawa ia akan berlangsung menjelang penghujung tahun 2020.
Andaian itu telah meleset disebabkan peningkatan jangkitan secara tiba-tiba di sebahagian besar negara, terutama di Lembah Klang sehingga membawa kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai pertengahan Oktober.
Pelaksanaan PKPB juga tidak membawa kepada matlamat mengurangkan jumlah jangkitan.
Spekulasi kekal berterusan. Diramalkan kita bakal menyaksikan PRU15 pada suku pertama atau awal April sebelum Ramadan, serentak dengan PRN Sarawak, yang mandatnya akan berakhir menjelang Julai ini.
Nampaknya spekulasi meleset buat kali kedua.
Perjalanan tahun 2020 dihiasi krisis politik yang tidak menemui titik kesudahan, dan ditambah dengan kehadiran pandemik COVID-19 tanpa diundang.
Kedua-dua krisis politik dan kesihatan berterusan buat tahun kedua. Dalam hal ini, salah satu aspek penting di sebalik ekosistem adalah pilihan raya.
Pilihan raya demokrasi menjadi bahagian penting dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem berparlimen dan demokrasi.
Jadi perlu ada peruntukan perundangan yang boleh menyediakan untuk memanggil dan mengadakan serta menangguhkan pilihan raya sekiranya perlu.
Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya, tiga pilihan raya kecil iaitu Batu Sapi, Gerik dan Bugaya ditangguhkan ekoran proklamasi darurat yang diputuskan bulan November dan Disember lalu.
Mengikut pengumuman asal ketiga-tiga pilihan raya kecil itu akan diadakan apabila wabak COVID-19 reda kelak.
Meskipun dua pilihan raya kecil iaitu Chini, Pahang dan Slim, Perak telah berlangsung dengan lancar dan efektif meskipun dalam suasana COVID-19, rata-rata rakyat tidak bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya terutama PRU15 dan PRN Sarawak ketika wabak masih menghantui negara, terutama susulan kesan yang dirasai selepas PRN Sabah.
Tidak dapat dinafikan bahawa ada sesetengah negara yang telah mengendalikan pilihan raya ketika wabak. Begitu juga ada negara yang mengambil tindakan sebaliknya.
Berdasarkan makluman International Institute for Democracy and Electoral Assistance (IDEA), hampir 80 negara telah menangguhkan pelbagai jenis pilihan raya – umum, pilihan raya kecil, pilihan raya kerajaan tempatan dan referendum ekoran COVID-19 sejak awal tahun ini.
Pokoknya, kita belum bersedia dalam banyak segi. Sudah tentuk tahap ketidahpatuhan prosedur operasi standard (SOP) masih rendah.
Ini belum mengambil kira jika pilihan raya diadakan, di mana ia akan membabitkan proses kempen pilihan raya dan pergerakan orang ramai sepanjang musim pilihan raya, sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung.
Di sebalik darurat, penggantungan dewan-dewan perundangan (pusat dan negeri) serta tidak mengadakan pilihan raya sehingga Ogos ini (buat masa sekarang).
Tempoh hingga Ogos itu kemungkinan mengambil kira keperluan peruntukan mandatori mengadakan PRN Sarawak apabila mandatnya berakhir Julai ini.
Di sebalik perkembanagn sejak Oktober, sudah tiba masa bagi kerajaan untuk mempertimbangkan keperluan mengadakan peruntukan kuasa khas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memutuskan asas-asas bagi menangguhkan pilihan raya sekiranya berhadapan dengan keadaan darurat.
Ini kerana kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa menguruskan pilihan raya. SPR wajib mengadakan pilihan raya.
Sebaliknya tiada peruntukan mutlak bagi menangguh atau menunda pilihan raya.
Di bawah peruntukan semasa, salah satu fungsi SPR adalah menguruskan perjalanan pilihan raya peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.
Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.
Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan berbunyi, "kecuali sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3) (keputusan mengenai kehilangan kelayakan), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan bahawa ada kekosongan atau oleh SPR bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya".
Fasal yang sama juga berbunyi bahawa "jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal 3 Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima."
SPR juga diberikan peruntukan di bawah Peraturan 24A, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk mengisytiharkan pengundian di tempat mengundi sebagai tidak sah, menetapkan hari dan menentukan waktu untuk mengadakan pengundian semula.
Bagaimanapun, tiada peruntukan untuk bertindak menangguh atau menunda pilihan raya sebelum hari penamaan calon.
Kita telah menggunakan peruntukan darurat untuk membatalkan hari penamaan calon dan menunda tiga pilihan raya kecil yang sepatutnya berlangsung bulan lalu dan bulan ini.
Undang-undang semasa tidak menyediakan peruntukan khusus kepada SPR untuk menangguh atau membatalkan keperluan mengadakan pilihan raya dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak, pandemik dan bencana.
Hanya pengisytiharan darurat atau larangan khusus diumumkan oleh pihak berkuasa boleh dan pernah disandarkan oleh SPR apabila memutuskan untuk menunda proses pengundian semasa termasuk ketika PRU 1969 di Sabah dan Sarawak.
Dalam keadaan terikat dari segi kerangka perundangan, SPR memerlukan peruntukan khas atau punca kuasa untuk membolehkan pengurusan pilihan raya ditangguh atau ditunda atau membatalkannya sama sekali.
COVID-19 telah menyediakan keperluan untuk kita melihat semula sistem, undang-undang dan prosedur berkaitan dengan pilihan raya.
Sudah tiba masa untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihan raya dan menyediakan ruang bagi rakyat membuat pilihan dengan tenang tanpa sebarang rasa cemas dan bimbang, sekali gus memenuhi semangat prinsip demokrasi.
Diharap ia akan menjadi agenda utama apabila Parlimen kembali berfungsi.
Dr G Manimaran merupakan penulis bebas dan mantan Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#pilihan raya
#pilihan rakyat
#PRU
#Sabah
#Perikatan Nasional
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#G Manimaran
#Bersatu
#COVID-19