COVID-19: Pil antiviral Molnupiravir perlu untuk tangani kes 'breakthrough infection' - Khairy
Firdaus Azil
Oktober 7, 2021 17:41 MYT
Oktober 7, 2021 17:41 MYT
KUALA LUMPUR : Penggunaan pil antiviral Molnupiravir keluaran Merck Sharp & Dohme perlu, memandangkan kadar breakthrough infection (jangkitan yang bertindak melawan vaksin) masih berlaku dalam kalangan mereka yang telah lengkap dua dos vaksinasi COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Katanya lagi, berdasarkan data Kementerian, ada dalam kalangan tersebut di bawah kategori 3, 4, dan 5, dan memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Katanya lagi, biarpun kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini hampir mencecah 90 peratus, namun penggunaan pil itu masih perlu di samping penerusan program vaksinasi sedia ada.
“Dengan pil ini, kita juga memberi pilihan kepada doktor untuk beri pil ini kepada pesakit, sama ada yang tak divaksin atau sudah divaksin. Tetapi, kerana masalah kesihatan tertentu, masih alami gejala teruk seperti 3, 4, 5.
“Dan keputusan daripada ujian klinikal peringkat ketiga, pil antiviral ini menunjukkan ia berkesan untuk membantu, merawat pesakit kategori 3, 4, 5, terutamanya kepada mereka yang dah bergejala melebihi lima hari. Itu strategi pemberian pil ini,” katanya lagi.
Awal hari ini, Khairy mengumumkan perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap Molnupiravir (patient courses) untuk merawat pesakit COVID-19.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan ke atas varian-varian virus COVID-19 yang lebih ganas seperti gamma, delta dan mu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, berdasarkan kadar vaksinasi yang tinggi, serta unjuran keperluan untuk pesakit, jumlah 150,000 pakej lengkap rawatan adalah memadai, dan kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk membeli dengan jumlah yang lebih besar.
Selain itu, beliau mengesahkan bahawa penggunaan pil Molnupiravir adalah percuma untuk pesakit COVID-19.
Menjawab soalan mmengenai sama ada penggunaan dos penggalak atau ‘booster shot’ akan dikemaskini dalam MySejahtera, Khairy berkata, ia tidak akan memberi kesan kepada status penerimaan vaksin dalam aplikasi berkenaan.
“Kita akan tawarkan dos penggalak kepada kumpulan yang kita rasa layak., tapi ia bukan compulsory, atau mandatori untuk terima booster dose (dos penggalak).
“Tapi kita akan tawarkan kepada kumpulan tertentu – warga emas, mereka yang ada komorbiditi, barisan hadapan, dan petugas kesihatan di barisan hadapan,” katanya lagi.
Khairy berkata, Kementerian buat masa ini tidak akan membuat paksaan, tetapi sangat menggalakkan mereka untuk mengambil dos penggalak, memandangkan data klinikal menunjukkan kesan vaksin ke atas golongan tertentu menurun selepas enam bulan pengambilan dos lengkap.