COVID-19: Petugas kesihatan ubah strategi vaksinasi, gerak waktu malam

Radhi Muslim
November 2, 2021 11:23 MYT
Petugas kesihatan menjalankan Operasi Penilaian dan Vaksinasi Pantas di Kampung Melayu, Batu Lapan, di Sandakan, semalam. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Pejabat Kesihatan Sandakan akan mengubah strategi bagi menjalankan Operasi Penilaian dan Vaksinasi Pantas (RAVO) dengan bergerak pada waktu malam.
Pegawai Kesihatan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata, strategi itu akan digunakan apabila menjelajah ke taman-taman perumahan di daerah berkenaan.
Menurutnya, langkah itu diambil kerana pihaknya mendapati ramai penghuni taman perumahan tidak berada di rumah pada waktu siang.
"Waktu siang ramai orang bekerja. Kadang-kadang yang tinggal di rumah hanya orang gaji atau anak-anak, mereka takut untuk buka pintu.
"Jadi, kita akan ubah strategi. Kita akan pergi pada waktu malam. Waktu itu semua sudah balik bekerja dan semua penghuni ada di rumah.
"Kita akan bergerak bersama pihak polis untuk menunjukkan kami yang datang ini adalah pasukan yang betul. Kadang-kadang, waktu malam orang lebih takut, kalau orang menyamar.
"Jadi, kita akan bawa pasukan polis sekali sebagai bukti kami yang datang ini untuk membuat bancian dan mengesan siapa yang belum menerima vaksin,” kata Johari.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI semasa menjalankan RAVO di Kampung Melayu, Batu Lapan, di sini, semalam.
Katanya, strategi berkenaan dijangka akan dimulakan pada pertengahan bulan ini.
Justeru, pihaknya berharap penduduk-penduduk di taman-taman perumahan di sini dapat memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan kelak.
#Sandakan #Johari Awang Besar #vaksinasi waktu malam #Operasi Penilaian dan Vaksinasi Pantas
;