COVID-19: Petugas kesihatan disaring kesan masalah kesihatan mental - Masidi

Bernama
November 23, 2020 04:15 MYT
Jabatan Kesihatan sentiasa memastikan petugas kesihatan bersedia dalam menghadapi cabaran COVID-19, antaranya dengan memberi taklimat tentang apa yang akan dihadapi petugas tersebut. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Ujian saringan bagi mengesan sebarang masalah kesihatan mental dilakukan dari semasa ke semasa terhadap petugas kesihatan di Sabah yang berdepan cabaran mengekang pandemik COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Beliau, yang juga jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri Sabah, berkata sebarang masalah kesihatan mental dikesan dalam kalangan petugas kesihatan itu akan dirujuk kepada pihak berkenaan termasuk pakar psikologi bagi memastikan masalah itu diurus dan diselesaikan dengan baik.
"Pelbagai langkah telah diambil terutama oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mengesan masalah kesihatan mental (dalam kalangan petugas kesihatan) supaya ia boleh diatasi dengan tidak menjejaskan tugas mereka.
"Selain itu, petugas kesihatan juga boleh terus menghubungi Talian Sokongan Psikososial diwujudkan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi mendapatkan bantuan mengenai kesihatan mental," katanya pada sidang media harian COVID-19 negeri Sabah di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang laporan Bernama pada Ahad mengenai permohonan Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) bagi memperkemas langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik COVID-19.
Masidi berkata pihak JKNS juga sentiasa memastikan setiap petugas kesihatan bersedia dalam menghadapi cabaran COVID-19, antaranya dengan memberikan taklimat tentang tugas serta apa yang akan dihadapi petugas tersebut.
"Sebelum bergerak ke zon merah petugas akan diberikan taklimat 'pre-deployment', kemudian semasa bertugas mereka diberi taklimat 'intra-briefing' daripada semasa ke semasa dan selepas bertugas taklimat 'post-deployment' bagi memastikan kesihatan mental mereka sentiasa baik.
"Selain itu setiap ketua unit juga bertanggungjawab terhadap jadual petugas kesihatan bagi memastikan mereka dapat rehat secukupnya dan tidak tertekan dalam menjalankan tugas," katanya.
Beliau berkata sekiranya terdapat kekurangan petugas kesihatan di suatu kawasan terutamanya di zon merah, JKNS akan membuat mobilisasi petugas segera daripada kawasan zon hijau atau kuning bagi memastikan petugas kesihatan di zon merah tidak terlalu terbeban.
"Apabila petugas kesihatan ini sakit mereka perlu dirawat segera, justeru mobilisasi ini penting memastikan tanggungjawab petugas kesihatan yang sakit itu dapat diambil alih dengan segera dan berkesan. Dengan langkah ini kita pastikan keberkesanan melawan COVID-19 tidak berkurangan," katanya.
Menjawab tentang isu pembayaran elaun dan pembekuan cuti petugas kesihatan yang dikhuatiri menjejaskan motivasi mereka dalam laporan itu, Masidi berharap isu itu dapat diselesaikan di peringkat jabatan dalam mencari situasi menang-menang bagi semua pihak terlibat.
-- BERNAMA
#Masidi Manjun #Sabah #COVID-19 #Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah #petugas kesihatan #petugas barisan hadapan #barisan hadapan #kesihatan mental #Talian Sokongan Psikososial #pakar psikologi #mobilisasi #zon merah #ujian saringan #jabatan kesihatan #cuti #elaun
;