COVID-19: Petugas barisan hadapan, jangan putus harapan - YDP Agong
Isabelle Leong
Januari 19, 2021 18:17 MYT
Januari 19, 2021 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah memerangi gelombang ketiga penularan wabak COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata Seri Paduka Baginda memahami cabaran besar yang diharungi dan amat menyanjung tinggi pengorbanan yang dicurahkan golongan ini demi membendung wabak COVID-19.
Selain itu kata beliau, Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan norma baharu dan kawalan kendiri.
Justeru, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat untuk menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan berdisiplin mematuhi semua perintah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah bertitah kepada rakyat agar mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama dan bersama-sama memerangi musuh halimunan itu.
Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif COVID-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan keperluan rawatan rapi dan pengunaan katil ICU untuk pesakit di hospital COVID-19, khususnya di Lembah Klang.
Justeru Baginda mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar para petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi dan segala usaha yang dilakukan dalam memerangi COVID-19 diberkati dan berjaya.
Seri Paduka Baginda pada masa yang sama turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera.
#Yang di-Pertuan Agong
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#petugas barisan hadapan
#harapan
#COVID-19
#norma baharu
#SOP