COVID-19: Pesakit ditempat di luar Jabatan Kecemasan HTAR untuk sementara - Dr Sha'ari
Khairunnisa Kasnoon
Julai 8, 2021 00:06 MYT
Julai 8, 2021 00:06 MYT
KUALA LUMPUR: Penempatan katil tambahan bagi pesakit COVID-19 di luar Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang terpaksa dilakukan sementara menunggu kekosongan katil wad.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, menjelaskan semua pesakit yang ditempatkan di kawasan itu telah dirawat terlebih dahulu di Jabatan Kecemasan.
"Bagi Hospital Shah Alam pula, peningkatan kemasukan pesakit akut di Jabatan Kecemasan hospital itu adalah disebabkan hospital itu dijadikan Hospital Berpakar Major non-COVID yang memberi rawatan akut pesakit non-COVID sekitar daerah Petaling," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau memberi penjelasan mengenai status semasa keadaan hospital di Selangor susulan penularan gambar keadaan di Jabatan Kecemasan HTAR dan Hospital Shah Alam di media sosial.
Dr Sha’ari memaklumkan, semua hospital di negeri Selangor menerima peningkatan kes COVID-19 yang tinggi terutamanya melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan sejak akhir Jun 2021.
Justeru katanya, pihak HTAR dan Hospital Shah Alam sedang dalam proses menambah kapasiti katil di hospital masing-masing.
Selain itu, katanya mobilisasi kakitangan kesihatan dari luar turut dijalankan bagi membantu situasi COVID-19 di Lembah Klang membabitkan pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan.
"Penambahan bilangan katil juga sedang diusahakan melalui pengaktifan hospital medan di Hospital Tuanku Mizan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS)," katanya lagi.
#HTAR
#Klang
#Tular
#viral
#pesakit
#ditempatkan di luar
#Jabatan Kecemasan
#katil di luar
#Hospital Shah Alam
#pengarah kesihatan
#Selangor
#Dr Shaa ari Ngadiman