COVID-19 permulaan pada krisis lebih besar iaitu...
Saraya Mia
Mei 13, 2020 11:47 MYT
Mei 13, 2020 11:47 MYT
COVID-19 hanya sebahagian kecil daripada krisis yang lebih besar iaitu krisis iklim.
Menurut aktivis alam sekitar, Shakila Zen, krisis COVID-19 yang berciri zoonotik dan berasal daripada hidupan liar dianggap sebagai satu tamparan besar bagi manusia untuk berdepan krisis iklim yang akan datang.
“Dalam waktu krisis COVID-19 ini, ramai orang hilang kerja, digantikan kerja, cuba bayangkan kalau kita membiarkan hal-hal begini, kita tak jaga haiwan liar kita, kita tak jaga hutan kita, kita tak jaga suhu (iklim) kita.
“Selepas ini kita akan menghadapi lebih banyak krisis dalam dunia, krisis iklim yang sangat teruk yang mana saya rasa manusia tidak dapat hadapi,” kata Shakila kepada wartawan Astro AWANI ketika temu bual eksklusif bersama Rancak TV, baru-baru ini.
Tambah ahli Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) itu lagi, terdapat pelbagai undang-undang yang harus dikuatkuasakan serta dipantau secara berterusan supaya aktiviti-aktivi yang boleh menyebabkan kerosakan terhadap alam sekitar dapat dikawal dengan lebih ketat.
Kadar penurunan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) telah menunjukkan penurunan manakala kadar kebersihan air sungai bertambah baik susulan Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) yang memaksa orang ramai duduk di rumah dan mengurangkan aktiviti perindustrian.
Namun begitu, kata Shakila, perkara ini tidak akan kekal apabila masyarakat keluar semula dan menjalani kehidupan seperti biasa pasca PKP ataupun COVID-19 berakhir.