COVID-19: Perlis belum berhasrat beli vaksin - Menteri Besar
Adie Sufian Zulkefli
Mei 20, 2021 17:19 MYT
Mei 20, 2021 17:19 MYT
KANGAR: Kerajaan Perlis belum berhasrat untuk membeli vaksin COVID-19 sebagai tambahan untuk kegunaan rakyat di negeri itu.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man, Perlis belum mempunyai perancangan untuk berbuat demikian seperti dilakukan oleh beberapa negeri seperti Perak, Sarawak dan Selangor.
Katanya, pada masa ini, bekalan vaksin COVID-19 untuk rakyat di negeri ini masih mencukupi dan pemberian juga mengikut jadual.
Bagaimanapun, tegas Azlan, apa yang menimbulkan cabaran di Perlis pada ketika ini ialah
ketidakpatuhan orang awam mengikut jadual dalam penerimaan suntikan vaksin.
Beliau berkata, terdapat kes individu yang sepatutnya menerima suntikan vaksin tidak hadir dalam temu janji yang ditetapkan.
Bahkan, tegas Azlan, terdapat juga segelintir daripada rakyat yang tidak mengikut jadual yang ditetapkan misalnya, waktu yang diberikan pada waktu petang, namun, mereka hadir pada sebelah pagi.
Tindakan itu, kata beliau, sekali gus menyebabkan keadaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini sesak.
Dalam perkembangan yang sama, Azlan berkata, penggunaan katil pesakit COVID-19 di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar juga belum mencapai tahap kritikal seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Tapi sekiranya kes semakin meningkat kemungkinan kita akan menghadapi masalah yang sama sepertimana yang dihadapi oleh negeri lain seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan dan sebagainya.
“Disebabkan itu, kita mengharapkan supaya setiap individu di dalam negeri Perlis mematuhi SOP (prosedur operasi standard) (supaya) kita boleh mengawal peningkatan kes yang mendadak.
“Alhamdulillah walaupun di negeri negeri lain (kes) meningkat dengan begitu tinggi, tetapi di Perlis walaupun ada peningkatan tetapi kesnya kecil,” ujar Azlan dalam sidang media penganjuran Pesta Angin Timur 2021 @ Online di sini, pada Khamis.