COVID-19: Perkhidmatan bas hidrogen di Kuching dihentikan sementara
Astro Awani
Februari 21, 2021 21:38 MYT
Februari 21, 2021 21:38 MYT
KUCHING: Perkhidmatan bas hidrogen bagi semua laluan di Bandaraya Kuching ditunda buat sementara waktu.
Menurut kenyataan Sarawak Metro dalam kenyataannya menjelaskan, penangguhan sementara perkhidmatan itu adalah bagi memberi laluan proses sanitasi dan saringan COVID-19 kepada semua pemandu bas.
Tambahnya, keputusan itu juga susulan beberapa pemandu dipercayai terdedah kontak rapat pesakit COVID-19 baru-baru ini.
“Sarawak Metro juga ingin memastikan semua pemandu menjalani pemeriksaan COVID-19 dan semua bas disanitasi," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sejak meneruskan operasi percubaan pada 2 September lalu.
Katanya, ia termasuk proses sanitasi bas, memastikan semua penumpang memakai pelitup muka serta memeriksa suhu.
"Kami akan memaklumkan kepada orang ramai sebaik sahaja perkhidmatan ini kembali beroperasi," katanya.