COVID-19: Peringatan untuk kerajaan urus kewangan awam dengan bertanggungjawab - Agong

Hasimi Muhamad
September 10, 2022 15:05 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah dalam Majlis Pelancaran buku Weathering The Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of COVID-19, yang ditulis oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.- BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 perlu dijadikan sebagai peringatan kepada kerajaan untuk terus menguruskan kewangan awam secara bertanggungjawab, titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, memiliki kredibiliti fiskal dan ruang adalah penting untuk membolehkan negara bertindak dengan pantas dalam krisis terutamanya bagi melindungi kehidupan dan mata pencarian rakyat, serta menjaga ekonomi daripada runtuh.
Justeru, titah Al-Sultan Abdullah lagi, pengurusan ekonomi yang berhemah merupakan satu keperluan strategik untuk memastikan ekonomi kekal pada tahap yang baik, dan mampu menahan sebarang kejutan.
"Kita semua harus menyokong mengutamakan perbelanjaan untuk membantu rakyat; dan meningkatkan kebajikan rakyat dalam tempoh mencabar.
"Tetapi (kerajaan) juga perlu terus melabur dalam meningkatkan infrastruktur; modal insan; dan sistem pendidikan negara. Kita juga mesti memiliki pertimbangan digitalisasi dan mengintegrasikan kemampanan, agar pada masa depan ekonomi Malaysia kekal bersaing di peringkat global," titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah dalam Majlis Pelancaran buku ‘Weathering The Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of COVID-19’, yang ditulis oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di ibu negara pada Jumaat.
Berkenan berangkat masa pada majlis tersebut ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Melangkah ke hadapan, Yang di-Pertuan Agong bertitah terdapat pelbagai peluang yang boleh direbut untuk rakyat bersama-sama membina dan mengukuhkan semula negara.
Namun, lanskap pasca pandemik titah Al-Sultan Abdullah telah menyaksikan persaingan oleh semua negara di dunia dalam merebut peluang perdagangan, pelaburan dan perniagaan, serta menjadi lebih hebat.
"Bagi merebut peluang yang ada, Malaysia mesti terus berusaha dengan gigih untuk mengorak langkah maju ke hadapan. Kita tidak boleh lagi bersenang-lenang dan tidak habis lagi mengadu domba perkara yang remeh.
"Kita perlu mengetepikan semua perbezaan dan menumpukan usaha untuk merebut peluang yang ada ke arah membangunkan semula negara," tambah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa setiap seorang rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotisme dan cintakan negara yang tinggi.
"Jika kita semua bersatu hati; seikat bagaikan sirih dan serumpun bagai serai. InsyaAllah, tiada yang mustahil untuk kita terokai bersama.
"Sesungguhnya, kejayaan pasti datang kepada masyarakat yang bersatu padu dengan usaha yang jitu," titah Al-Sultan Abdullah lagi.
Di sebalik kejayaan dalam memerangi pandemik COVID-19; Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan agar rakyat tidak boleh terus leka dan mengambil sikap mudah.
Sebagai sebuah negara, seluruh rakyat hendaklah sentiasa berwaspada dan bersedia untuk menghadapi sebarang dugaan dan pandemik yang bakal melanda.
Oleh hal demikian, Al-Sultan Abdullah menambah pembangunan dan pengukuhan sistem serta kapasiti perkhidmatan kesihatan negara hendaklah diteruskan.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Tengku Zafrul atas kejayaan menghasilkan buku 'Weathering The Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of COVID-19, selain menyifatkan beliau sebagai seorang yang memiliki pelbagai bakat dan minat tersendiri.
"Saya berharap semoga buku ini akan menyuntik semangat kepada seluruh rakyat untuk terus mencurahkan khidmat bakti; dan menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang dalam menghadapi sebarang dugaan dan kemungkinan kepada negara yang tercinta ini," titah Al-Sultan Abdullah.
#Yang di-Pertuan Agong #Kerajaan urus kewangan #kesan pandemik COVID-19 #Tengku Zafrul lancar buku
;