COVID-19: Perhimpunan besar penyumbang peningkatan kes positif di Sarawak

Afiezul Samit
Februari 26, 2021 19:56 MYT
JKNS menggesa semua pihak untuk terus mengelakkan diri daripada menyertai sebarang perhimpunan yang ramai kerana risiko jangkitan berlaku adalah tinggi. FOTO: BERNAMA
KUCHING: Perhimpunan orang ramai menjadi faktor utama kepada tercetusnya kewujudan kluster baharu COVID-19 di Sarawak.
Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) susulan berlakunya peningkatan kes positif di negeri itu.
Menurut pengarahnya, Dr Chin Zin Hing, lonjakan kes positif juga berlaku disebabkan kegagalan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu.
Ini termasuk gagal mengamalkan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka atau cara pemakaian pelitup muka yang tidak betul serta tidak mengamalkan kebersihan tangan sebaiknya.
"Ingin saya ingatkan, virus COVID-19 berada dalam kalangan masyarakat dan virus ini hanya menunggu peluang untuk merebak daripada mereka yang dijangkiti sama ada individu tersebut bergejala ataupun tidak.
"Cara jangkitan berlaku sama ada semasa berada bersama-sama di tempat sesak, sempit, bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat, serta ketika sedang makan atau minum yang mana pelitup muka ditanggalkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi garis panduan dan SOP yang ditetapkan.
Selain itu, JKNS menggesa semua pihak untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan yang ramai kerana risiko jangkitan berlaku adalah tinggi.
"Risiko tinggi jangkitan ini boleh berlaku apabila individu menyertai perhimpunan ramai dan seterusnya menjangkiti ahli keluarga dan rakan kerja masing-masing.
“Untuk itu, orang ramai dinasihat untuk bersikap prihatin dalam melindungi ahli keluarga dan juga rakan sekerja dengan tidak mendedahkan diri kepada risiko jangkitan COVID-19,” tambahnya.
Menerusi kenyataan sama, Dr. Chin berkata, empat upacara pengebumian di Sibu, Beluru, Kapit dan Kuching sebelum ini menyebabkan tercetusnya beberapa kluster COVID-19 melibatkan 25 kes sehingga melebihi 2,000 kes bagi setiap kluster.
Selain itu, perhimpunan sosial merekodkan 11 kluster termasuk tiga di Kuching, dua di Samarahan, masing-masing satu di Serian, Sri Aman, Kapit, Julau, Betong dan Bau melibatkan 17 kes sehingga 61 kes setiap kluster.
Seterusnya, perhimpunan di tempat kerja menyebabkan berlakunya lima kluster melibatkan dua di Bintulu dan satu kluster masing-masing di Matu, Meradong dan Sri Aman melibatkan saiz kluster di antara 10 hingga 35 kes.
Manakala satu kluster wujud disebabkan perhimpunan upacara perkahwinan di Miri dengan saiz kluster melibatkan 187 orang.
#COVID-19 di Sarawak #perhimpunan orang awam #kluster COVID-19 di Sarawak #kluster aktif di Sarawak #kes terkini di Sarawak #Chin Zin Hing #SOP COVID-19
;