COVID-19: Peraturan lebih ketat masuk ke Labuan
Bernama
Januari 1, 2021 05:00 MYT
Januari 1, 2021 05:00 MYT
LABUAN: Bermula semalam, Jabatan Kesihatan Labuan mewajibkan semua pengembara menyerahkan keputusan negatif ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) atau tindak balas berantai Polimerase (PCR) COVID-19 sebelum memasuki pulau bebas cukai itu.
Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata peraturan baharu itu terpakai kepada semua pengunjung dan pengembara di seluruh Malaysia yang memasuki pulau tersebut melalui terminal feri Labuan serta Lapangan Terbang Labuan.
"Kami terpaksa menguatkuasakan peraturan lebih ketat susulan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.
"Semalam, seramai 12 penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Labuan telah diuji positif virus itu, oleh yang demikian, kami tidak mahu lagi kes dari luar Labuan berada dalam data kami," katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, pengembara (dari bahagian lain negara ini) boleh menjalani ujian saringan itu sama ada di Lapangan Terbang Labuan atau Terminal Feri Ro-Ro Labuan dengan bayaran minimum RM61.
Dr Ismuni berkata peraturan itu sama seperti apa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Labuan mempunyai kes kumulatif jangkitan itu sebanyak 1, 701 dengan empat kluster aktif iaitu Kluster Hujung Pasir, Kluster J Bandar, Kluster Titian dan Kluster Saguking.
-- BERNAMA
#Labuan
#COVID-19
#ujian saringan
#Pengembara
#ujian Antigen Rapid Test Kit
#RTK-Ag
#tindak balas berantai Polimerase
#pcr
#Ismuni Bohari