COVID-19: Perak sediakan inisiatif RM7 juta bantu beban golongan sasaran
Abd Razak Mohd Ali
Mac 18, 2020 19:07 MYT
Mac 18, 2020 19:07 MYT
Kerajaan negeri Perak menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta sebagai bantuan untuk mengurangkan beban golongan sasaran yang terkesan ekoran COVID-19.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta akan disalurkan kepada 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan one-off sebanyak RM500 itu akan disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat.
"Kerajaan negeri akan tanggung. Ya, kita akan tanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera di bawah semua PBT di Perak, selama dua bulan. Jadi untuk bulan ini dan bulan depan, tak payah nak bayar sepenuhnya bayaran sewa.
"Kita akan tanggung separuh dan ini melibatkan kos hampir RM800,000 untuk mereka sebab kita faham (mereka) tak dapat nak berniaga gerai makan, tak dapat buka gerai, bahan-bahan makanan yang telah dibeli mungkin akan rosak dan sebagainya. Maka, kita nak memudahkan ataupun meringankan beban para peniaga," ujar Ahmad Faizal.
Beliau membuat pengumuman itu di kediamannya di Ipoh pada Rabu, sebagai susulan daripada pengumuman yang dibuat pada Selasa mengenai beberapa inisiatif untuk mengurangkan beban golongan sasar yang terkesan ekoran COVID-19.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan makan tengah hari dan malam selama dua minggu untuk 1,500 kakitangan barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19 di negeri Perak.
Sumbangan itu melibatkan kos RM420,000 adalah tambahan kepada peruntukan khas sebanyak RM160,000 untuk membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri.
#Ahmad Faizal Azumu
#COVID-19
#golongan sasaran
#kerajaan negeri
#koronavirus
#pbt
#Perak
#peruntukan