COVID-19: Penjualan, penggunaan pensanitasi tangan perlu pemantauan
Ts Mohd Soffian Osman
Mei 14, 2020 12:25 MYT
Mei 14, 2020 12:25 MYT
PADA 7 Mei 2020 yang lalu, saya telah menyatakan kebimbangan menerusi Buletin AWANI terhadap penjualan dan penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada waktu ini.
Hal ini, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan mewajibkan entiti perniagaan yang dibenar beroperasi menyediakan pensanitasi tangan dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19.
Namun, terdapat segelintir entiti perniagaan ini yang menyediakan pensanitasi tangan yang tidak menepati spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bagi mengupas lanjut isu ini, saya bahagikan penulisan ini kepada beberapa subtopik supaya ia lebih mudah difahami semua.
Alkohol
Terdapat dua jenis pensanitasi tangan di pasaran iaitu mengandungi alkohol (alcohol-based) dan tidak mengandungi alkohol (alcohol-free).
Menurut KKM, WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), penggunaan yang disarankan untuk menghapuskan virus COVID-19 mestilah yang berasaskan alhohol dengan kepekatan sekurang-kurangnya 60 hingga 95 peratus.
Pensanitasi tangan yang mengandungi alkohol didapati lebih berkesan dalam menghapuskan virus berbanding yang tidak mengandungi alkohol.
Ini kerana alkohol mampu memusnahkan sarung protein (protein envelope) yang mengelilingi koronavirus, seterusnya menghalang ia daripada membiak dan membunuhnya.
Kandungan alkohol yang terlalu rendah (kurang dari 60 peratus) tidak akan dapat memusnahkan virus itu dengan berkesan.
Perbezaan kedua-dua jenis pensanitasi tangan ini dapat dikenal pasti dengan mudah di mana yang berasaskan alkohol akan memberikan rasa dingin dan meruap.
Notifikasi KKM
Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), pensanitasi tangan bagi tujuan menjaga kebersihan tangan am (for general hand hygiene) adalah diklasifikasikan sebagai kosmetik dan memerlukan ia dinotifikasi berdasarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Notifikasi bukanlah satu bentuk kelulusan oleh KKM sebaliknya adalah merupakan pengisytiharan pematuhan oleh syarikat pemegang notifikasi terhadap semua peraturan yang ditetapkan, selain telah memastikan bahawa produk adalah selamat, berkualiti dan berkesan sebelum ia dipasarkan.
Penjualan kosmetik tidak bernotifikasi merupakan satu kesalahan dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 (bagi kesalahan pertama) dan sehingga RM100,000 (bagi kesalahan berikutnya) (jika kesalahan dilakukan oleh syarikat).
Manakala jika kesalahan dilakukan oleh peniaga atau penjual, boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya (bagi kesalahan pertama) dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya (bagi kesalahan berikutnya).
Produk yang telah dinotifikasi akan mempunyai nombor notifikasi NOTyymmxxxxxK (y : year (tahun), m : month (bulan), x : serial number (nombor siri)) dan kesahihannya boleh disemak di laman web NPRA (www.npra.gov.my) atau melalui aplikasi NPRA Product Search.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status nombor notifikasi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian.
Untuk rekod, NPRA telah menotifikasi pensanitasi tangan sejak tahun 2008 dan ia merangkumi yang kedua-dua jenis pensanitasi tangan samada mengandungi alkohol atau pun tidak.
Membunuh 99.99 peratus kuman?
Sejak akhir-akhir ini, kita melihat banyak iklan pensanitasi tangan yang menyatakan produk mereka mampu membunuh sehingga 99.99 peratus kuman termasuk COVID-19.
Persoalannya, apakah benar produk tersebut mampu bertindak sedemikian?
Kuman ditakrifkan sebagai mikroorganisma yang sangat kecil atau seni yang biasanya menyebabkan penyakit kepada manusia dan ia merangkumi bakteria, virus, kulat dan parasit.
Kebanyakan pensanitasi tangan yang terdapat di pasaran hanya diuji keberkesanannya terhadap bakteria berdasarkan standard BS EN 1040 dan bukannya virus (BS EN 14476), sedangkan COVID-19 adalah disebabkan oleh virus.
Malahan, menurut NPRA pensanitasi tangan yang dikelaskan sebagai kosmetik adalah bagi tujuan penjagaan kebersihan sahaja dan dibenarkan menggunakan tuntutan antibakteria sebagai tuntutan tambahan.
Tetapi tuntutan seperti disinfektan, antivirus, virucidical, rujukan kepada kuman penyebab penyakit adalah tidak dibenarkan.
Ini bermaksud iklan yang menyatakan produk mereka mampu membunuh sehingga 99.99 peratus kuman termasuk COVID-19 boleh dianggap sebagai mengelirukan dan boleh didakwa di bawah Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 iaitu iklan produk dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat dan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.
Pensanitasi tangan buatan sendiri?
Terdapat rungutan bahawa sesetengah premis perniagaan yang menyediakan pensanitasi tangan buatan sendiri atau yang tidak mengikut spesifikasi yang disarankan seperti penggunaan bancuhan cecair pembunuh kuman (antiseptik), cecair peluntur, cecair berasaskan klorin, dan lain-lain.
Perkara ini dilakukan dengan alasan bagi menjimatkan kos pembelian pensanitasi tangan yang dilaporkan naik mendadak ekoran wabak COVID-19.
Perbuatan ini tidak sepatutnya dilakukan kerana keberkesanan bahan yang digunakan adalah diragui selain boleh mendatangkan bahaya dan kesan sampingan yang lain kepada manusia.
Malahan berdasarkan cadangan interim berkaitan kebersihan tangan dalam menangani penularan COVID-19 yang dikeluarkan oleh WHO pada 1 April 2020 yang lalu, hanya penggunaan sabun dan pensanitasi tangan mengandungi alkohol sahaja yang disarankan.
Pemantauan pihak berkuasa
Oleh kerana penggunaan penggunaan pensanitasi tangan dilihat sangat kritikal pada ketika ini, maka adalah wajar untuk pihak berkuasa khususnya KKM dan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan untuk melakukan pengawasan terhadap penjualan dan penggunaan pensanitasi tangan di premis-premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi ketika ini.
Dalam masa yang sama, orang ramai juga diminta agar lebih cakna dengan isu ini dan turut sama memainkan peranan sebagai anggota masyarakat yang prihatin dengan melaporkan kepada pihak berkuasa bagi sebarang perbuatan yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh mana-mana premis perniagaan.
Diharap cadangan ini mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkaitan bagi memastikan usaha mengawal penularan dan menghapuskan rantaian COVID-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan ini berjaya.
Ts Mohd Soffian Osman, Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#antibakteria
#antivirus
#COVID-19
#hand sanitiser
#hand sanitizer
#KKM
#koronavirus
#Lembaga Iklan Ubat
#pensanitasi tangan
#perubatan
#SOP
#WHO