COVID-19: Peningkatan varian baharu Omicron XBB dikesan - Khairy

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 21, 2022 16:28 MYT
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (kiri) menyantuni penuntut universiti pada Program Agihan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai untuk tidak khuatir dengan subvarian COVID-19 baharu, Omicron XBB yang mula dikesan ketika ini.
Menterinya, Khairy Jamaludin berkata, meskipun tidak menolak kemungkinan kes membabitkan varian itu akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, namun ianya tidak membawa kepada peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian.
Beliau berkata, pegawai berkaitan juga sedang membuat unjuran berhubung perkara berkenaan, bagaimanapun setakat ini KKM tidak bercadang untuk melakukan sebarang sekatan termasuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka.
"Buat masa ini saya tidak ada apa-apa rancangan untuk kembalikan apa-apa sekatan, Singapura juga telah mengatakan tidak ada apa-apa rancangan tetapi menteri Singapura telah memaklumkan dan ada berhubung dengan saya bahawa beliau tidak tolak kemungkinan pelitup muka boleh dikembalikan di Singapura.
"Untuk di Malaysia belum lagi, saya tidak melihat keputusan tersebut buat masa ini tetapi seperti mana yang saya selalu pesan buat rakyat Malaysia, fasa peraihan ke endemik ini mesti mengambil kira mutasi virus.
"ini kepada varian baharu, kalau datang varian baharu yang mungkin boleh meningkat kebolehjangkitan dan juga kesan dan gejala, maka kita kena semak balik tetapi setakat ini tidak, tetapi kalau kata peningkatan kes harian, saya rasa akan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia (Zon Selatan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban di sini pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan, subvarian baharu Omicron XBB mula dikesan di Amerika Syarikat (AS) pada 15 September lalu, dan ia dikatakan bersifat sangat kebal dan mudah menular.
Laporan juga menyebut virus itu kini menular di negara-negara benua Asia termasuk di Singapura dan merebak dengan lebih cepat daripada varian COVID-19.
Mengulas lanjut ujarnya, sebagai langkah keselamatan, orang ramai terutama warga emas dan mereka berisiko tinggi disyorkan memakai pelitup muka terutama ketika berada dalam kumpulan yang ramai.
Selain itu katanya, beliau akan turut memastikan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 berjalan dengan lancar terutamanya sepanjang tempoh berkempen.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #Omicron XBB #subvarian
;