KUALA LUMPUR: Biarpun kadar vaksinasi di negara ini tinggi, namun peningkatan kes COVID-19 serta bilangan kluster susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara adalah sesuatu yang membimbangkan.

Justeru Pakar Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli menasihatkan orang ramai agar tidak menunggu arahan daripada agensi atau kementerian terbabit untuk mengambil langkah keselamatan.

"Kalau nak tunggu Kementerian Kesihatan laksana pelan tindakan seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka dan sebagainya, ia tak perlu.

"Kita sudah ada pendedahan, kita sudah hidup dengan COVID-19 selama tiga tahun, kita seharusnya faham risiko yang boleh berlaku kepada anak-anak di sekolah.

"Lebih wajar pendekatan dan langkah keselamatan diambil alih ibu bapa, jangan bergantung arahan kerajaan sahaja. Lagipun pelitup muka bukan sahaja baik untuk COVID-19 tetapi juga untuk penyakit berjangkit yang lain," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Rabu.

Jelas Dr Farhan, kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak tidak begitu tinggi menyebabkan mereka berada dalam kategori golongan yang berisiko.

"Nak tahu membimbangkan atau tidak, kena pertimbang dua perkara iaitu jumlah kemasukan ke wad, di mana kita lihat ada kenaikan 24 peratus kemasukan ke wad COVID. Kedua, kita kena tahu golongan yang berisiko dijangkiti COVID-19.

"Umum tahu dalam sektor pendidikan, ramai kanak-kanak yang belum terima imunisasi lengkap COVID-19. Walaupun kita sudah capai dos 1 dan 2 yang tinggi, begitu juga dos penggalak tetapi adakah ini cukup untuk memastikan tiada perkara buruk yang akan berlaku kepada anak-anak kita di sekolah?

"Kita tak tahu apa akan berlaku dalam tempoh enam bulan atau setahun. Kita tak mahu ia menyebabkan penutupan balik sekolah, jika keadaan tak terkawal ini boleh mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa dan sudah tentu kita tidak mahu ini berlaku," ujarnya lagi.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan mengesan peningkatan kes COVID-19 serta bilangan kluster dari 26 Mac hingga 1 April lalu, susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes baharu merekodkan pertambahan kes 3,069 bersama sembilan kluster yang masih aktif. Selain itu, katanya peningkatan kluster yang dicatatkan adalah sebanyak 37.7 peratus.

Segera bendung Kluster pendidikan