COVID 19: Peniaga bebas, lepas tuduhan sebar berita palsu
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 11, 2024 14:30 MYT
Oktober 11, 2024 14:30 MYT
KUALA KANGSAR: Mahkamah Seksyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang peniaga daripada tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin COVID 19, tiga tahun lalu.
Hakim Rohaida Ishak dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Muhammad Zaki Omar, 39.
Menurutnya, setelah menimbangkan semua keterangan lisan dan dokumentasi yang dikemukakan sepanjang perbicaraan serta hujahan yang difailkan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pihak pendakwaan.
Sementara itu, peguam Asiah AbdJalil yang mewakili tertuduh ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa niat tertuduh ketika memuat naik hantaran adalah untuk menuntut pampasan bagi pihak mangsa vaksin bukan menyebarkan berita tidak benar.
Menurutnya, niat tertuduh adalah untuk menuntut pampasan bukan menyebarkan berita tidak benar atau menimbulkan kegusaran mahupun kegentaran awam.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Zaki didakwa telah menggunakan aplikasi Facebook menerusi profil akaun Muhammad Zaki Omar dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam kira-kira pukul 11.39 malam, 3 April 2021.
Bapa enam anak itu didakwa menyebarkan berita tidak benar iaitu ‘Akhirnya di Gerik hari ini diperakui satu kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga. #500k’ yang telah dibaca pada 4 April 2021 kira-kira pukul 9 pagi di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Gerik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan dan Datin Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.
Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes bermula pada 11 Februari 2022.
Pada 6 September lalu, Muhammad Zaki yang berdepan pertuduhan komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kesan pengambilan vaksin juga dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Edwin Paramjothy Micheal Muniandy selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.