COVID-19: Pengusaha rayu tadika swasta Pahang dibenar beroperasi
Astro Awani
November 12, 2020 06:02 MYT
November 12, 2020 06:02 MYT
KUANTAN: Pengusaha tadika swasta Pahang merayu agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengecualikan tadika swasta daripada ditutup sebagaimana arahan Menteri Kanan Kementerian Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, pada Ahad lalu.
Pengerusi Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Pahang, Zubaidah Husain berkata rayuan itu dibuat kerana negeri Pahang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ibu bapa masih dibenarkan keluar bekerja seperti biasa.
Ini akan menimbulkan kesulitan kerana anak-anak mereka akan sama ada ditinggalkan dirumah tanpa jagaan atau ditinggal dalam jagaan sesiapa sahaja dan ini boleh mewujudkan isu keselamatan yang tidak perlu.
“Pahang berada dalam zon hijau di mana kita di bawah PKPP, semua pengoperasian dibenarkan termasuk tadika swasta.
“Sekiranya tadika swasta ditutup, ibu bapa tidak bekerja dari rumah, jadi bagaimana anak-anak mereka?
"Kita bimbang anak-anak yang terbiar ini di tempat-tempat yang kita belum pasti keselamatannya.
“Itulah sebab kenapa kami mohon juga tadika swasta ini dibuka kembali secepat mungkin," kata Zubaidah.
Tambah Zubaidah lagi, arahan penutupan ini akan turut menyebabkan hampir 350 pengusaha tadika swasta di negeri Pahang yang bergantung pendapatan daripada jumlah kanak-kanak yang hadir di tadika, hilang punca pendapatan secara total.
“Walaupun tutup, kos pengoperasian tetap perlu dibayar. Gaji perlu dibayar begitu juga sewa rumah dan bil utiliti tetapi pendapatan tiada,” ujarnya.
Ahad lalu, KPM memutuskan semua sekolah di Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak turut sama ditutup bermula 9 November hingga 17 Disember, tahun ini.
Ketetapan itu juga terpakai kepada sekolah-sekolah swasta dan institusi-institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian tersebut termasuk tadika-tadika swasta.
#tadika
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#perintah kawalan pergerakan
#PKPP
#pendidikan
#Pahang
#Kementerian Pendidikan
#sekolah