COVID-19: Pengurusan kesihatan awam yang baik bantu rendahkan kadar kematian - Dr Jemilah
Fareez Azman
Februari 5, 2021 16:36 MYT
Februari 5, 2021 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor kesihatan awam dilihat berjaya menunjukkan pengurusan yang baik dalam mendepani pandemik COVID-19 meskipun perang melawan wabak itu belum selesai.
Menurut Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood sektor kesihatan awam menunjukkan kejayaan sepanjang setahun yang lalu apabila kadar kematian direkodkan antara terendah berbanding negara lain.
"Kita mempelajari banyak perkara berkenaan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu, dari pemulaan krisis kesihatan ini sehinggalah Malaysia berdepan dengan gelombang COVID-19 yang lebih mencabar ketika ini.
"Sektor kesihatan awam sentiasa dipertingkatkan terutama bagaimana untuk menguruskan pesakit COVID-19, malah kerjasama para penyelidik, akademik dari universiti dan agensi kerajaan dapat meningkatkan kesiapsiagaan mendepani pandemik ini.
"Kadar kematian akibat COVID-19 di negara ini pada tahap 0.4 peratus iaitu terendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain, tetapi pada masa sama kita perlu terus belajar terutamanya dalam analisis data," katanya.
Ujar Dr Jemilah lagi, selain mengumpulkan pakar dalam bidang analisis data, sektor kesihatan awam turut dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan itu.
Dalam pada itu, selain pencegahan dan usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini, beberapa aspek juga perlu dititik beratkan dalam peperangan menentang wabak itu.
Ia termasuk pengurusan pekerja asing yang lebih sistematik kerana golongan itu antara menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 setiap hari.
"Pada pandangan saya, kita telah banyak belajar mengenai bagaimana untuk menguruskan pekerja asing di negara ini. Jika kita tidak uruskan mereka ini dengan baik, keselamatan kita pun akan terancam.
"Mereka berada dalam komuniti kita, tinggal bersama kita, justeru pengurusan pekerja asing ini amat perlu bagi mengelak berlakunya xenofobia (ketakutan terhadap warga asing)," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas bertajuk Society after COVID-19: What will change and what have we learnt? baru-baru ini.
#pekerja asing
#COVID-19
#Malaysia
#kerajaan
#sektor kesihatan awam
#keselamatan
#rakyat
#jangkitan COVID-19
#perang
#Musuh tidak nyata
#Dr Jemilah Mahmood