Pengunjung Pasar Borong Ikan dan Pasar Ikan di Pasar Umum Sandakan pada 14 hingga 28 Jun yang menunjukkan gejala tidak sihat diminta membuat saringan COVID-19 dengan segera.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Wong Foo Tin berkata, semua orang awam yang berkunjung ke lokasi itu pada tarikh berkenaan dinasihatkan untuk menjaga kesihatan.

"Sesiapa berasa bergejala diminta membuat saringan COVID-19 di Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) dengan segera," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Terdahulu, satu kes positif COVID-19 dilaporkan dikesan di Pasar Umum Sandakan.

Ia menjadikan daerah Sandakan yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau bertukar kepada zon kuning.