COVID-19: Penghantar surat dihukum kerana sembunyi maklumat perjalanan
Adie Sufian Zulkefli
April 12, 2020 15:21 MYT
April 12, 2020 15:21 MYT
Seorang penghantar surat dijatuhi hukuman menjalani khidmat masyarakat selama tiga bulan selepas didapati bersalah gagal memberi maklumat berhubung sejarah perjalanannya semasa saringan COVID-19, di Pendang, bulan lalu.
Hukuman dijatuhkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas tertuduh, Omar Mat Khatib, 31 tahun, yang bekerja di Singapura, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal mematuhi permintaan pegawai perubatan untuk membekalkan maklumat yang dikehendaki berkaitan langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
Perbuatan itu dilakukan di kaunter saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Pendang pada 26 Mac lalu kira-kira jam 12 tengah hari.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 6, pencegahan-pencegahan dan pengawalan penyakit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Peraturan 6 iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Siti Norhidayah menjatuhkan hukuman pilihan, iaitu penjara tiga bulan atau khidmat masyarakat tiga jam sehari selama tiga bulan, ke atas Omar.
Tertuduh yang diwakili peguam Zuriyah Mhd Nordin kemudian memilih hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini.
Selain itu, Siti Norhidayah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat Parol, Pendang setiap hari selama tiga bulan.
#Alor Setar
#COVID-19
#kesihatan
#koronavirus
#mahkamah
#maklumat perjalanan
#penghantar surat
#penjara
#perubatan
#PKP
#Singapura