COVID-19: Penggunaan katil lebih 90 peratus, PPUM mula pindahkan pesakit ke hospital swasta
Harits Asyraf Hasnan
Julai 8, 2021 21:40 MYT
Julai 8, 2021 21:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kapasiti katil wad COVID-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah 90 peratus diguna pakai.
Pengarahnya, Profesor Dr Nazirah Hasnan berkata, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital itu pula ditahap maksimum iaitu 32 katil.
Jelasnya, PPUM masih mempunyai katil yang boleh digunakan tetapi tenaga kerja untuk menguruskan pesakit tidak mencukupi.
"Kita tidak boleh buka lebih banyak katil sebab kita tidak ada tenaga kerja yang cukup apabila katil-katil tersebut dibuka.
"Tenaga kerja yang saya maksudkan adalah doktor merangkumi doktor pakar dan pegawai perubatan untuk menjalankan perkhidmatan.
"Selain itu, tenaga kerja jururawat juga adalah agak kritikal kerana kalau kita nak buka katil tapi tak ada jururawat, siapa nak jaga pesakit kita?" soalnya.
COVID-19 | Penggunaan katil wad COVID-19 PPUM lebih 90%
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang serta penggunaan fasiliti kesihatan yang melebihi tahap kritikal.
Mengulas berkenaan usaha jangka masa pendek dalam menangani kes-kes harian COVID-19 yang meningkat saban hari, Dr Nazirah berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan hospital swasta lain untuk memindahkan pesakit bukan COVID-19.
"Ini disebabkan kita terpaksa membuka katil COVID-19 dengan lebih banyak.
"Jadi pesakit bukan COVID-19 yang tidak dapat dirawat di PPUM termasuk yang memerlukan pembedahan dan intervensi elektif serta kes-kes kecemasan yang kami terima dan tidak boleh dirawat (akan dipindahkan)," katanya.
Jelasnya, inisiatif itu digerakkan melalui dana yang disalurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
#ICU
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#penggunaan katil
#unit rawatan rapi
#sistem kesihatan
#fasiliti kesihatan
#Prof Dr Nazirah Hasnan
#PPUM
#pusat perubatan universiti malaya
#Lembah Klang