COVID-19: Pengembara perlu saring suhu badan di pintu masuk antarabangsa Sarawak

Bernama
Januari 13, 2023 18:30 MYT
Semua pengembara yang tiba dari luar negara di pintu masuk antarabangsa Sarawak akan melalui proses saringan suhu badan. - Gambar fail
KUCHING: Semua pengembara yang tiba dari luar negara di pintu masuk antarabangsa Sarawak akan melalui proses saringan suhu badan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah penilaian situasi semasa COVID-19.
Menurutnya, individu yang dikesan demam atau bergejala akan diberikan slip untuk tujuan ujian COVID-19 di klinik swasta atau kerajaan.
"Ujian COVID-19 swab tekak perlu dilakukan mereka dalam tempoh 48 jam dan sekiranya positif, pengembara akan menjalani kuarantin di premis penginapan.
"Pengembara yang negatif COVID-19 tetapi bergejala dinasihatkan agar memakai pelitup muka terutamanya semasa berada di tempat orang ramai, perhimpunan atau tempat sesak," menurutnya.
Sementara itu, JPBN Sarawak menggalakkan mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.
"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan terus memantau perkembangan jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
"Kemelut pandemik COVID-19 masih panjang dan masyarakat perlu memberikan kerjasama dan mengambil tanggungjawab sosial serta memainkan peranan masing-masing," menurutnya. - BERNAMA
#COVID-19 #saringan suhu badan #Pintu Masuk Antarabangsa #Sarawak
;