COVID-19: Pengarah Pendidikan Negeri tentukan penutupan sekolah, langkah sesuai - Tokoh Pendidikan Negara

Fareez Azman
April 20, 2021 17:30 MYT
Insiden penularan COVID-19 yang melibatkan pelajar sekolah akhir-akhir ini membuatkan segelintir ibu bapa memberikan cadangan agar kuasa autonomi diberikan kepada Pengetua sekolah untuk menutup pengoperasian sekolah. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Insiden penularan COVID-19 yang melibatkan pelajar sekolah akhir-akhir ini membuatkan segelintir ibu bapa memberikan cadangan agar kuasa autonomi diberikan kepada Pengetua sekolah untuk menutup pengoperasian sekolah sekiranya wujud kes COVID-19.
Namun bagi Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, langkah yang dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika ini dengan memberi kuasa kepada Pegawai Pendidikan Daerah dan Pengarah Pendidikan Negeri adalah lebih bersesuaian.
Jelasnya, ia bagi memastikan maklumat tepat dapat disalur daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya sesebuah sekolah itu perlu ditutup.
"Pada pandangan saya, keputusan atau langkah dibuat KPM memberikan kuasa kepada Pegawai Pendidikan Daerah dan Pengarah Pendidikan Negeri adalah sangat sesuai.
"Ini disebabkan untuk mengetahui COVID-19 dengan lebih jelas kena ada hubungan dengan KKM, maknanya pihak Pengetua tidak boleh isytiharkan begitu sahaja, dia perlu dapatkan maklumat dari KKM, MKN dan sebagainya barulah keputusan itu tepat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Tambahnya, langkah itu juga dapat mengelakkan kekeliruan berlaku dalam kalangan ibu bapa sekiranya sesuatu keputusan dibuat.
"Keduanya, kita tahu sesetengah daerah ada banyak sekolah, kadang-kadang sampai 10 buah sekolah di bawah PPD, mungkin agak sukar nanti kalau ada sekolah isytihar tutup ada pula tidak.
"Ia akan kelirukan ibu-bapa, lebih baik dibuat oleh PPD atau Pejabat Pendidikan Negeri lebih berkuasa," katanya lagi.
Dalam pada itu, Dekan Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Samsilah Roslan pula berpendapat penentuan tahap risiko di sekolah boleh diturunkan kepada Pengetua Sekolah.
Ujarnya, ia lebih sistematik serta membolehkan tindakan pantas dilaksanakan jika berlaku penularan wabak terbabit melibatkan pelajar atau guru.
"Pada pendapat saya, penentuan tahap risiko bagi situasi pandemik seperti COVID-19 hanya selayaknya dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Berdasarkan arahan, keputusan atau garis panduan KKM, Pengetua Sekolah boleh membuat tindakan sewajarnya.
"Ini bermakna aspek dan aliran komunikasi antara semua yang terlibat perlu sistematik dan cekap untuk membolehkan tindakan pantas yang tepat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Prof Dr Samsilah, ia merupakan norma baharu yang perlu diterima dan diamalkan oleh semua pihak agar sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.
"Pembelajaran di sekolah (dengan SOP yang ketat), mahupun PdPR keduanya harus boleh dilaksanakan oleh semua pihak dengan baik tanpa mengabaikan kualiti pembelajaran yang diterima oleh murid sekolah.
"Kita juga harus mempersiapkan mental untuk berhadapan dengan perubahan-perubahan ini bersilih ganti, yang mungkin akan berlaku secara konsisten, sebagai satu norma baharu dan mesti boleh membantu murid-murid mengadaptasi kepada suasana ini dengan sebaik mungkin," katanya lagi.
#Astro Awani #pendidikan #SOP #KKM #sekolah #pelajar #Kementerian Kesihatan #Kementerian Pendidikan #keselamatan #guru #Majlis Keselamatan Negara #kesihatan #Malaysia #COVID-19 #pandemik
;