COVID-19: Penerima dos penggalak paling terlindung - Dr Noor Hisham
Astro Awani
Februari 22, 2022 15:10 MYT
Februari 22, 2022 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Dos vaksin penggalak dilihat mampu mengurangkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, menerusi data yang dikumpulkan dari 24 Januari hingga 21 Februari, kumpulan individu tidak divaksin merupakan golongan paling berisiko dijangkiti COVID-19 yang serius terutama Kategori 4 dan 5.
"Perkara ini dibuktikan dengan kes COVID-19 per 100,000 populasi mengikut status vaksinasi meningkat kira-kira 10 hingga 80 kes direkodkan untuk Kategori (3,4,5) bagi semua kumpulan umur.
"Kumpulan individu yang menerima dos penggalak adalah paling terlindung apabila bawah 20 kes dilaporkan dan dilihat kurang kes jangkitan yang serius iaitu Kategori 3, 4 dan 5 dan juga kes kematian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sejumlah 14,078,456 atau 59.8 peratus dos penggalak diberikan setakat ini kepada individu dewasa dalam Program Imunisasi COVID-19 Dos Penggalak (PICK-B) yang sudah bermula sejak 1 Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Melaka menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus.
Sejumlah 25,099 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,246,779.
Daripada jumlah itu, 100 daripadanya dalam Kategori 3, 4 dan 5 manakala 24,499 dalam Kategori 1 dan 2.