COVID-19: Penduduk pulau sekitar Sandakan terima vaksin 2-4 minggu lagi

Radhi Muslim
Mei 29, 2021 10:06 MYT
Petugas Jabatan Kesihatan akan bergerak sendiri ke pulau-pulau sekitar Sandakan untuk menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak lama lagi. -Gambar fail
SANDAKAN: Petugas Jabatan Kesihatan akan bergerak sendiri ke pulau-pulau sekitar Sandakan untuk menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak lama lagi.
Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Johari Awang Besar berkata pihaknya menjangka usaha itu akan mula digerakkan dalam masa dua hingga empat minggu lagi.
Menurut beliau, ketika ini pihaknya masih merangka pelan dengan lebih rapi dan efisien bagi memudahkan penduduk di pulau-pulau sekitar menerima vaksin COVID-19.
Menurutnya, Sandakan antara daerah yang luas di Sabah dengan lebih tujuh buah pulau yang dihuni penduduk.
“Saya sedang merancang dengan lebih rapi, pasukan bot yang bergerak ke beberapa belas kampung di sekitar kawasan Sandakan seperti di Pulau Berhala, Tanjung Aru, Pulau Lubukan, Pulau Tronglit, Pulau Shanghai dan sebagainya.
"Kita akan merancang ini dengan lebih rapi dan kita akan beritahu kepada pihak berkaitan, mungkin ketua kampung ataupun pihak pemimpin di sana, bila kita akan datang.
"Mereka perlu bersedia untuk menerima dan kita akan mulakan, insya-Allah dalam masa dua minggu atau empat minggu dari sekarang,” kata Dr Johari ketika ditemu bual Astro AWANI di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Sandakan.
Tambah Johari, pasukan kesihatan juga akan mengadakan program imunisasi di kawasan-kawasan luar bandar Sandakan dengan klinik kesihatan kampung dijadikan pusat pemberian vaksin.
“Bagi di kampung yang jauh, contohnya di Suan Lamba, Ulu Dusun dan juga Sungai Manila, kita ada perancangan untuk membuat di klinik kesihatan yang ada di tempat tersebut.
"Jadi tak payah mereka datang jauh ke bandar Sandakan ini di dewan libaran atau dewan masyarakat.
"Ini akan memudahkan mereka. Kita akan lihat ini dengan lebih serius dan kita akan laksanakan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Beliau berharap penduduk di pulau dan luar bandar sekitar sini sentiasa bersedia dan memberi kerjasama sekiranya petugas kesihatan masuk ke kawasan berkenaan.
#vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #petugas kesihatan #PPV #Klinik kesihatan #Pusat Pemberian Vaksin #COVID-19 #bot #pulau sekitar Sandakan #Pulau Berhala #Tanjung Aru #Pulau Lubukan #Pulau Tronglit #jom cucuk vaksin
;