COVID-19: Penduduk PPR akui mengalami kesempitan berterusan, ketara

Astro Awani
Oktober 30, 2020 15:10 MYT
Tinjauan Astro AWANI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Jalan Pantai di sini pada Jumaat mendapati, rata-rata penduduk mengakui terkesan teruk akibat penularan wabak itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kajian yang dilakukan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan United Nations Population Fund (UNFPA) untuk melihat kesan COVID-19 ke atas sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di flat kos rendah baru-baru ini mendapati mereka mengalami kesempitan yang ketara dan berterusan.
Beban tanggungan dalam keluarga-keluarga ini juga bertambah berikutan kadar pengangguran yang tinggi.
Tinjauan Astro AWANI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Jalan Pantai di sini pada Jumaat mendapati, rata-rata penduduk mengakui terkesan teruk akibat penularan wabak itu.
Seorang peniaga makanan, Mohd Jaimi Ahmad Tajuddin berkata, selepas pendapatannya terjejas, isterinya terpaksa meninggalkan tiga anak mereka berseorangan di rumah untuk membantunya mencari pendapatan sampingan.
"Saya memang tak mampu nak hantar kepada pengasuh. Kami orang susah, bertambah dengan krisis macam ini. Sekarang anak saya yang berusia 11 tahun yang menjaga adik yang berusia tujuh dan lima tahun.
"Kami akan sediakan makan minum mereka sebelum keluar dan abang (anak sulung) akan jaga adik-adik yang lain," ujarnya.
Sementara itu seorang lagi penduduk, G Kanagavalli, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia kehilangan kerja pada Julai lalu secara mengejut dan selepas itu sukar untuknya untuk mendapat kerja baharu.
"Kami sangat susah memandangkan hanya suami saya sahaja berkerja. Pendapatan isi rumah kurang dan anak-anak juga tidak dapat dihantar ke tuisyen. Duit kami hanya cukup untuk makan sahaja," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang pemandu teksi, Mohd Yusuf Daud memberitahu, dia amat merasai kesukaran untuk mendapatkan penumpang sejak penularan COVID.
"Sekarang nak dapatkan pendapatan RM50 sehari pun susah. Kadangkala beratur satu jam pun tak dapat pelanggan," katanya.
Ekoran itu, beliau berharap kerajaan akan memberi bantuan kepada pemandu teksi yang terjejas teruk itu.
BACA: Kajian UNICEF, UNFPA: Pendapatan isi rumah penengah meningkat 23 peratus berbanding tempoh PKP
BACA: Kajian UNICEF, UNFPA: 1 daripada 5 murid hilang minat ke sekolah selepas PKP
#keselamatan #ekonomi #COVID-19 #terkesan #ksempitan #pendapatan terjejas
;