COVID-19: Penduduk Perlis diingatkan tidak ambil mudah SOP
Bernama
Oktober 31, 2020 14:44 MYT
Oktober 31, 2020 14:44 MYT
PADANG BESAR: Masyarakat di Perlis diingatkan agar tidak mengambil mudah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) walaupun negeri itu berstatus zon hijau COVID-19.
Ini kerana kata Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas, di sebalik penguatkuasaan SOP yang melibatkan seluruh negara itu, masih ada individu khususnya di daerah ini, yang melanggar arahan berkenaan.
Contohnya, hari ini sebanyak empat kompaun dikeluarkan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan itu semasa operasi pematuhan SOP PKPP dijalankan di kawasan Anjung Tinjau Wang Kelian dan Pasar Pagi Beseri, katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan kadar pematuhan SOP PKPP di Padang Besar adalah tinggi iaitu 90 peratus.
"Masyarakat tidak seharusnya alpa dan bersikap mengambil mudah tentang perkara ini kerana kita perlu bersama-sama untuk membendung wabak ini," katanya.
--BERNAMA