COVID-19: Penduduk Mutiara Kasih, Khazanah Indah mohon PKPD tidak dilanjutkan
Bernama
November 9, 2020 21:15 MYT
November 9, 2020 21:15 MYT
LAHAD DATU: Penduduk Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah hari ini memohon supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilanjutkan, kerana khuatir akan hilang pekerjaan serta pendapatan mereka terjejas.
Seorang penduduk Rabiani Baba, 37 tahun, memohon PKPD itu ditamatkan bagi membolehkan penduduk kembali mencari nafkah, selepas sebulan memberi kerjasama untuk menjalani perintah itu.
"Saya ada perniagaan yang perlu dijalankan, ada jiran-jiran yang perlu bekerja, kami faham PKPD tapi ada majikan yang tidak boleh tunggu kami bekerja.
"Ada daripada penduduk ini bekerja dan mendapat gaji hari, kami semua ada keluarga yang perlu diberi makan," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Terdahulu beliau bersama kira-kira 100 penduduk membuat bantahan secara aman di Pangsapuri Mutiara Kasih malam ini, namun Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor hadir bagi menenangkan penduduk dan kemudian penduduk setuju untuk bersurai.
Kedua-dua lokaliti itu dikenakan PKPD bermula 13 hingga 26 Okt yang kemudian disambung sehingga hari ini.
Hari ini, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengumumkan pelanjutan PKPD selama 14 hari lagi bermula esok.
Sementara itu dalam sidang media harian kerajaan negeri mengenai COVID-19 di Kota Kinabalu malam ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan negeri memahami keresahan disuarakan penduduk itu.
Beliau berkata kerajaan negeri akan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk segera menilai semula kawasan itu dan memberi laporan pada mesyuarat MKN seterusnya.
"Saya mohon penduduk supaya bertenang, apa sahaja keputusan yang dibuat adalah atas kebaikan bersama. Saya tidak fikir Kementerian Kesihatan buat apa-apa keputusan untuk susahkan orang ramai.
"COVID-19 ini memang menggerunkan, buat sementara waktu tunggu penilaian semula saya minta semua pihak bersabar dahulu," katanya.
-- BERNAMA
#PKPD
#perintah kawalan pergerakan diperketat
#ismail sabri yaakob
#Masidi Manjun
#COVID-19
#Majlis Keselamatan Negara Sabah
#Jabatan Kesihatan Negeri Sabah